AM

SEKTOR TIDAK LAYAK TERIMA SUBSIDI DIINGATKAN JANGAN NAIKKAN HARGA

14/06/2024 05:02 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) -- Sektor yang tidak layak menerima subsidi diesel termasuk sektor pembinaan diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan pelarasan harga bahan api itu bagi menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sekiranya ada mana-mana syarikat pembinaan atau sektor lain yang sebelum ini memang tidak layak menerima subsidi diesel mengatakan mereka terpaksa menaikkan harga barang atau perkhidmatan kerana tidak lagi menerima subsidi, ia adalah satu kesalahan.

“Kecoh sektor pembinaan kata mereka perlu menaikkan harga simen dan perkhidmatan sebab dakwa sudah tidak terima subsidi diesel. Rupa-rupanya mereka memang tidak layak dan tidak dapat (subsidi) dari dahulu lagi,” katanya pada Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Parlimen Pulai di sini hari ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata tahun lepas 2 bilion liter diesel bersubsidi dipercayai diseleweng dan diseludup. 

“Kalau 2 bilion liter diseleweng iaitu sekitar RM3 hingga RM3.5 bilion, jumlah yang terlalu besar, yang sepatutnya boleh dimanfaat oleh kerajaan untuk bina hospital, prasarana air dan sebagainya tetapi telah disalah guna dan ada pihak yang buat keuntungan. 

“..(melalui penyasaran diesel subsidi) kita berjaya menyekat tanpa menafikan kumpulan rakyat yang memerlukan iaitu kumpulan B40 untuk menikmati subsidi,” katanya. 

Pagi tadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan berkata 10 syarikat yang membuat pengumuman menaikkan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas telah dipanggil untuk memberi penjelasan kewajaran tindakan itu.

Notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap tiga syarikat masing-masing sektor pengangkutan dan pembinaan serta empat lagi dari sektor minuman dan sewaan jentera.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan