JENAYAH & MAHKAMAH

1MDB GAGAL PERINCI PEMBELIAN BARANGAN DIDAKWA GUNA DANA RM1.6 BILION - ROSMAH

05/07/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Datin Seri Rosmah Mansor berkata 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal memperinci barangan yang didakwa diterima atau dibeli oleh beliau menggunakan dana syarikat pelaburan dan strategik negara itu lebih US$346 juta (RM1.6 bilion).

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkan semalam bagi membalas saman 1MDB dan lima anak syarikatnya serta lima plaintif lain terhadap beliau dan Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri).

Rosmah berkata beliau bukan seorang fidusiari atau lantikan kepada mana-mana plaintif dan tidak mempunyai apa-apa pengetahuan berkaitan pengurusan atau pentadbiran kesemua plaintif.

“Ini jelas menunjukkan tindakan plaintif adalah pramatang, remeh dan hanya bertujuan untuk memberi tekanan kepada saya selain bersifat mala fide (berniat jahat),” katanya.

Beliau turut menafikan barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain yang dalam milikannya dibeli menggunakan dana itu.

Rosmah berkata Mahkamah Tinggi pada 14 Nov 2022, menyatakan dengan jelas bahawa barangan terbabit bukan hasil daripada pengunaan wang haram atau pecah amanah.

Dalam kes itu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik Najib dan Rosmah.

Rosmah berkata plaintif terikat dengan keputusan itu dan ia adalah cubaan untuk membuka kembali litigasi berkenaan.

“Plaintif, iaitu entiti milik penuh kerajaan pada ketika itu, bertindak melalui Jabatan Peguam Negara untuk melucut hak barangan dalam milikan saya namun Jabatan Peguam Negara sendiri bertindak untuk mengembalikan sebahagian daripada barangan kemas milik saya atas dasar ia tiada kena-mengena dengan plaintif.

“Malah pada 22 Ogos 2019, notis telah disiarkan dalam warta Kerajaan Persekutuan memanggil pihak ketiga yang berkepentingan ke atas harta yang disita supaya hadir di mahkamah untuk menunjukkan mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak. Plaintif-Plaintif gagal menghadirkan diri untuk menyatakan apa-apa bantahan,” katanya.

Rosmah turut menafikan bahawa Shabnam Naraindas Daswani adalah ejen atau proksinya.

Selain 1MDB, tuntutan saman itu menyenaraikan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd sebagai plaintif.

Lima syarikat lain ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.

Pernyataan tuntutan 1MDB mendakwa Rosmah memperoleh barang kemas, beg tangan dan barangan mewah lain menggunakan dana syarikat itu yang berjumlah lebih US$346 juta (RM1.6 bilion) daripada 48 vendor berbeza di 14 negara.

1MDB dan SRC mendakwa lapan entiti luar pesisir yang menerima dana tidak berkaitan dengan syarikat itu ialah Aabar Seychelles, Affinity Equity, Alsen Chance, Blackrock, Blackstone, Brightstone, Good Star Ltd dan World Merit Management Ltd yang didakwa bertindak sebagai perantara serta membuat pembayaran bagi barangan mewah terbabit.

Oleh itu, kesemua plaintif antara lain menuntut Rosmah membayar US$346,010,489 atau jumlah yang ditaksir oleh mahkamah dan memohon deklarasi bahawa 1MDB dan lima anak syarikatnya mempunyai hak ke atas barangan mewah yang kini didakwa berada dalam simpanan beliau.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan