AM

Dua Beradik Kritikal Termakan Keropok Beracun Di Kulim

08/07/2024 01:07 PM

ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Dua beradik lelaki berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas dipercayai termakan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi dalam kenyataan berkata ibu kepada dua beradik itu menyedari kejadian pada 11 pagi selepas anak-anaknya muntah dan mengalami mulut berbuih. 

Beliau berkata kedua-dua mangsa dipercayai mengambil satu peket keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan.

Keropok itu dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

"Ibu mangsa telah membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau sebelum ke Hospital Kulim. Hasil pemeriksaan pegawai perubatan di Hospital Kulim mendapati kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal.

"Pada pukul 7.30 malam kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya 

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan jiran mangsa yang juga pekebun di kawasan berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan