EKONOMI

REFORMASI EKONOMI, PETUNJUK POSITIF PACU DANA ASING BELI SAHAM MALAYSIA -TENGKU ZAFRUL

25/07/2024 08:08 AM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kegigihan kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi serta petunjuk pertumbuhan yang positif pada masa ini, terus menjadi pendorong pembelian asing dalam pasaran saham Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tindakan sedemikian turut memaparkan keyakinan berterusan pelabur terhadap negara ini.

“Salah satu sebab kenaikan pasaran saham naik adalah keyakinan pelabur bagi jangka sederhana dan panjang selain menunjukkan dasar kerajaan yang telah kita laksanakakukan setakat ini adalah tepat.

“Pada masa sama, limpahan ekonomi itu akan turut dinikmati oleh syarikat-syarikat serta rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia 2023 di sini, malam tadi.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul turut memetik kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa ekonomi negara ini diunjur berkembang 5.8 peratus dalam suku kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada suku sebelumnya.

Sehubungan itu, angka-angka positif sedemikian menjadi petanda suntikan lebih banyak dana asing ke dalam Bursa Malaysia selain dalam bentuk pelaburan langsung domestik dan pelaburan langsung asing.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai mengulas rencana media kewangan Bloomberg yang mengetengahkan pasaran saham Malaysia yang kembali menarik kehadiran pelabur global berikutan tarikan dari segi perkhidmatan berkaitan kecerdasan buatan (AI) di rantau ini.

Laporan itu menyatakan dana asing menjadi pembeli bersih ekuiti tahun ini selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan dasar-dasar bagi menarik pelaburan asing dalam industri semikonduktor dan pembangunan pusat data AI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan