DUNIA

Maldives Cadang Rundingan Perdagangan Bebas Dengan India

10/08/2024 11:12 AM

NEW DELHI, 10 Ogos (Bernama) -- Maldives bercadang memulakan rundingan perdagangan bebas dengan India bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Menteri Luar Maldives, Moosa Zameer dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri India, Subrahmanyam Jaishankar mengadakan perbincangan mengenai pelbagai isu di ibu negara Maldives, Male, pada Jumaat.

"Kami komited untuk mewujudkan mekanisme yang berkesan bagi meningkatkan kerjasama ekonomi serta menjalin kerjasama kukuh dan makmur yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

"Dalam hal ini, saya telah menyampaikan cadangan Presiden Dr Mohamed Muizzu untuk memulakan rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas antara Maldives dan India.

"Perjanjian ini, bersama-sama dengan perjanjian ekonomi dan perdagangan lain, akan memudahkan liberalisasi perdagangan dan mengurangkan risiko menjalankan perniagaan di kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri luar Maldives itu juga berkata bahawa negaranya memperoleh manfaat besar daripada sokongan kewangan yang diberikan India dan berterima kasih kepada kerajaan India atas bil perbendaharaan bernilai US$50 juta.

"Ini telah banyak membantu dalam mengurangkan cabaran bajet dan fiskal kami," kata Moosa.

Jaishankar memulakan lawatan tiga harinya ke Maldives pada Jumaat untuk merasmikan projek-projek komuniti yang dibantu oleh India dan meneroka bidang kerjasama selanjutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan