AM

KPKT Komited Laksana Reformasi Perkhidmatan Awam

17/08/2024 08:56 PM

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus memberikan keutamaan dalam melaksanakan reformasi perkhidmatan awam bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), menyuntik semangat warga kementerian untuk terus berusaha dan memberikan sepenuh komitmen dalam menyantuni rakyat berteraskan lapan bidang fokus utama.

Antara lapan bidang fokus utama itu ialah membangun dan memperkasakan peranan Kerajaan Tempatan; membangun potensi pihak berkuasa tempatan bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara; perancangan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing serta pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum.

Bidang fokus itu turut meliputi pengurusan sisa pepejal bersepadu yang lebih efektif dan efisien; memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu; memperkukuh kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan serta menyasarkan pembinaan 100 Taman Rekreasi Awam MADANI di seluruh negara.

“Warga KPKT progresif meneruskan agenda dan fokus kementerian dalam memberikan perkhidmatan berkualiti demi kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, keputusan kerajaan berkaitan pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menghargai sumbangan dan meningkatkan kebajikan kakitangan awam. 

“KPKT terus komited memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti khususnya bagi meningkatkan aspek daya huni serta kesejahteraan rakyat di negara ini,” menurut kenyataan KPKT.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pelaksanaan SSPA merupakan bukti kerajaan berusaha untuk mempertingkatkan prestasi penjawat awam, dengan memastikan rakyat menerima perkhidmatan berkualiti dan terbaik. 

Beliau berkata ia juga selaras dengan hasrat menjadikan kementerian itu sebagai pusat kecemerlangan berdasarkan peranan dan fungsinya.

Nga turut mengingatkan warga kerja KPKT untuk terus dedikasi sebagai motivasi menggandakan usaha serta memperlihatkan prestasi kerja cemerlang dalam menjayakan Petunjuk Prestasi Utama yang telah ditetapkan demi manfaat kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan