JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Mayat Dalam Longkang, Polis Tahan Seorang Lelaki Warga Asing

20/08/2024 10:22 AM

ALOR SETAR, 20 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki membunuh isteri dan anak perempuannya yang mayat mangsa ditemukan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar berdekatan Pekan Simpang Kuala di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita itu oleh orang awam pada 5.04 petang.

"Siasatan mendapati kedua-dua mangsa yang berusia 10 dan 34 tahun yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil.

"Terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa yang dipercayai warga asing itu … mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan risikan pantas yang dilakukan oleh pihaknya telah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berumur 34 tahun yang merupakan suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa yang dijumpai itu.

Siti Nor Salawati berkata suspek ditahan di Masjid Bukit Pinang pada 9 malam tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar, hari ini untuk tujuan permohonan reman bagi meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, ASP Faizul Izuan Harun menerusi talian 04-7747222,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan