PASARAN > BERITA

Ringgit Diunjur Terus Meningkat Minggu Depan

10/08/2024 10:29 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan sentimen positif menjelang pengumuman data makroekonomi, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan, tumpuan pelabur akan terarah kepada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 yang akan diumumkan pada Jumaat depan.

Beliau berkata, selain itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Julai yang dijadual diumumkan pada Rabu akan menjadi tumpuan utama, dengan anggaran konsensus mencapai 2.9 peratus selepas menyederhana pada 3.0 peratus pada Jun.

"Ringgit berbanding dolar AS mungkin dilihat ingin menguji paras sokongan segera pada 4.40 minggu depan berikutan sentimen pasaran yang positif," katanya kepada Bernama.

Dalam tinjauan mingguannya terhadap ringgit, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, dolar AS mungkin meraih semula tarikannya sebagai mata wang selamat walaupun wujudnya momentum peningkatan ringgit.

Keadaan sedemikian adalah berikutan tuntutan pengangguran awal AS bagi mingguan adalah rendah berbanding jangkaan, di samping IHP AS yang diunjurkan lebih baik minggu depan, yang boleh mengurangkan jangkaan pengurangan kadar yang agresif.

“Unjuran kami kekal kepada dua penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS, terutama memandangkan risiko politik dan geopolitik yang dijangka berlaku.

"Keadaan ini mungkin menyebabkan ringgit turun naik antara 4.45 dan 4.55 berbanding dolar AS dalam tempoh beberapa minggu akan datang, dengan mata wang tempatan terus meraih manfaat daripada makro domestik yang menggalakkan," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kukuh sejak awal, apabila meningkat untuk mencecah paras 4.4000 berbanding dolar AS pada Isnin, didorong oleh laporan pekerjaan AS bagi Julai yang kurang memberangsangkan.

Mata wang tempatan kemudiannya mengalami pembetulan apabila Indeks Dolar AS melantun semula pada pertengahan minggu, sebelum mengakhiri minggu ini lebih kukuh.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.4200/4280 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 minggu lepas, dan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 4.8253/8340 daripada 4.8635/8689, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6373/6475 daripada 5.7264/7328 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.0019/0075 daripada 3.0177/0214 pada minggu sebelumnya. 

Selain itu, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang Asean.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3381/3444 daripada 3.3750/3793 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.5234/5514 daripada 12.7093/7284 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan turut menokok berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.73 berbanding 7.73/7.75 pada minggu sebelumnya tetapi menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 277.5/278.2 daripada 277.4/277.8 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan