POLITIK > BERITA

Mula Fikir Formula Politik Munasabah Bagi Persediaan PRN Sabah

22/08/2024 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Wanita UMNO menggesa agar parti itu mula memikirkan formula politik yang munasabah di Sabah sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya tahun hadapan. 

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata UMNO perlu jelas dengan model politik yang hendak dibawa dan menentukan rakan kerjasama bagi menghadapi PRN berkenaan. 

“Mana mungkin kita menjadi kerajaan di Persekutuan, tetapi menjadi pembangkang di negeri. Sentimen perpaduan ini perlu sampai ke akar umbi,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada usul perwakilan dari Sabah yang meminta pucuk pimpinan memberi perhatian serius kepada kerancuan model politik di Sabah ketika ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan penggulungannya mengingatkan bahawa parti keramat orang Melayu itu perlu membuat pendekatan politik baharu pada saat mereka berada di titik paling rendah dalam sejarah. 

“Kita ketika ini di lowest point, kita kena buat pendekatan politik baharu (supaya) ada generasi baharu yang membawa pengharapan baharu (kepada parti). Kalau hari ini kita sama sahaja, maka bila UMNO mati nanti kalau anak-anak kita salahkan kita, jangan kita menunding jari pada orang lain,” katanya. 

Selain itu, beliau turut mengulangi pendirian menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Pemuda UMNO di bawah pentadbirannya tidak sealiran dengan pimpinan parti.

“Siapa cakap kita tak sealiran? Pemuda UMNO hari ini membawa suara rakyat dan kita tak pernah takut bawa suara rakyat,” katanya.

Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dalam ucapan penggulungannya pula menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan politik Puteri melalui Project Next GenZ (PNG) yang menyasarkan golongan pengundi muda berusia 15 hingga 25 tahun.

“Puteri akan mempersiapkan mereka melalui gerak kerja dan inisiatif ROLE iaitu rekrut, orientasi, latihan, ekspresi. Tujuannya ialah kita berikan ruang latihan dan landasan untuk adik-adik belajar dalam lapangan politik yang sebenar dan dalam masa sama, kita juga dapat belajar memahami lenggok dan trend generasi masa kini daripada mereka,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO bermula semalam hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur melibatkan sebanyak 6,433 perwakilan dari seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan