SUKAN > BERITA

Sukan Paralimpik: Abu Samah Dapat Slot Dwipihak Ke Paris

30/07/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Pemain tenis kerusi roda negara Abu Samah Borhan sah akan beraksi pada Sukan Paralimpik ketiganya di Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 Sept.

Pengumuman ini susulan pengesahan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) pada Isnin bahawa Wheelchair Tennis Malaysia (WTM) berjaya mendapatkan kelulusan permohonan dwipihak untuk Abu Samah bagi membolehkannya beraksi dalam kedua-dua kategori perseorangan dan beregu lelaki di Paris.

Menerusi kenyataan WTM, juara Sukan Para ASEAN 2017 itu gembira dapat beraksi dalam Sukan Paralimpik ketiga berturut-turut selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Pemain berusia 39 tahun itu turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada WTM, Majlis Sukan Negara, ITF dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa atas sokongan mereka memberi peluang untuknya bermain dalam temasya sukan berprestij dunia itu.

Dalam kenyataan yang sama, presiden WTM Muhd Iqbal Sulaiman berkata Abu Samah dan Mohammad Yusshazwan Yusuf yang layak secara merit ke Paris 2024 akan menjalani latihan bersama pasukan Perancis dari 25 hingga 27 Ogos sebagai sebahagian daripada persiapan terakhir mereka sebelum temasya bermula.

Tenis kerusi roda di Paris 2024 akan diadakan di venue ikonik Stade Roland-Garros dari 30 Ogos hingga 7 September.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan