SUKAN > BERITA

Jemaah Menteri Ucap Tahniah Kejayaan Zii Jia, Aaron Chia, Wooi Yik Harumkan Nama Negara Di Olimpik Paris

07/08/2024 03:37 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia, dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, dalam sidang media Mingguan Kabinet, di sini hari ini.

“Mereka telah memenangi pingat gangsa. Terima kasih juga kepada semua atlet yang telah dan akan berjuang demi nama Malaysia.

“Kita doakan mereka yang akan berjuang dan bertanding, dapat menunjukkan prestasi yang terbaik, Insya-Allah,” katanya.

Pada Isnin lepas, Zii Jia menyumbang pingat gangsa kedua Malaysia selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Lakshya Sen dari India dengan keputusan 13-21, 21-16, 21-11 dalam pertarungan mendebarkan berlangsung selama 71 minit di Porte de La Chapelle Arena.

Sehari sebelum itu, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Paris 2024 selepas melakukan kebangkitan luar biasa untuk mengatasi pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 dalam penentuan pingat gangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan