SUKAN > BERITA

KBS Lakukan Reformasi Pentadbiran Sukan Tahun Hadapan, Mahu Libatkan Bekas Atlet

29/08/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan reformasi pentadbiran sukan melibatkan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) bermula tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ketika ini beliau telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bagi mewujudkan pentadbiran yang lebih teratur dengan penglibatan bekas-bekas atlet.

“Ketika ini kita tengah berbincang bagaimana nak libatkan mantan-mantan atlet dan bagaimana mereka ini perlu mempunyai kemahiran dalam sistem pentadbiran untuk mereka masuk (NSA).

“Jadi semua ini berkait dan sebab itu dalam kita nak mereformasikan pentadbiran persatuan sukan, kena pastikan atlet-atlet kita bersedia. Ini bermaksud mereka bukan sahaja bersukan tetapi perlu dapatkan ijazah supaya mereka tahu lepas mereka bersara, kalau nak memainkan peranan dalam persatuan sukan mereka kena tahu bagaimana nak mentadbir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi peka Tenaga Malaysia Energy Literacy Program (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sidang media mengumumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri untuk bertanding atau memegang jawatan presiden mana-mana persatuan sukan.

Susulan itu, Fahmi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad yang masing-masing sebelum ini menyatakan hasrat bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengumumkan penarikan diri.

Dalam perkembangan lain, Hannah memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menerapkan budaya peka tenaga agar para penggiat industri sukan dapat mengambil langkah-langkah kecekapan dan  penjimatan tenaga, sekali gus mengurangkan kos operasi. 

Beliau berkata KBS juga telah memutuskan untuk mendapatkan khidmat anak Syarikat TNB, TNB Energy Services (TNBES) bagi melaksanakan projek rintis penjimatan kos elektrik di kemudahan-kemudahan sukan KBS.

“Acara sukan biasanya menggunakan tenaga dalam jumlah yang signifikan dan para pengendali pusat-pusat latihan dan kemudahan sukan seperti stadium, padang, pelbagai jenis gelanggang dan arena serta gimnasium boleh melakukan penjimatan melalui amalan penggunaan tenaga elektrik cekap.

“Melalui kerjasama ini para pengendali pusat-pusat dan kemudahan sukan boleh menyumbang kepada agenda nasional dalam menghadapi cabaran perubahan iklim melalui pengurusan bijak dan cekap tenaga di premis masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan