SUKAN > BERITA

Kecederaan 'Ganggu' Fasa Peralihan Thanusaa

04/09/2024 11:28 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Impian U Thanusaa untuk mencipta kejayaan gemilang dalam  fasa peralihan ke peringkat senior sedikit terjejas susulan terpaksa bergelut dengan kecederaan ketika beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, baru-baru ini.

Pemain skuasy remaja berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanannya ketika membantu kontinjen Melaka membawa pulang pingat emas acara beregu wanita, bergandingan dengan Goh Zhi Xuan serta menyumbang perak bersama Andrik Lim Kai Sham menerusi beregu campuran.

Thanusaa yang menghuni ranking ke-130 dunia beraksi cemerlang tahun ini, setelah muncul juara di Kejohanan Remaja Asia di Islamabad, Pakistan dan membantu pasukan wanita meraih gangsa dalam Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia di Houston, Amerika Syarikat.

“Tahun ini agak baik, tetapi kini keadaan jadi sukar kerana saya sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan, harap dapat meneruskan momentum.

“Saya sedang cuba menyesuaikan diri (peringkat senior) kerana perlu lebih berusaha kerana tahapnya sudah berbeza. Saya pernah beraksi dalam beberapa kejohanan peringkat rendah, selepas ini perlu lebih banyak bermain dalam kejohanan Jelajah PSA (Persatuan Skuasy Profesional),”  katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Thanusaa menewaskan rakan sepasukan K. Vitrikashenie 11-4, 11-7, 13-11 dalam perlawanan pembukaan Ace Challenger Tour 12k 2024 di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini.

Thanusaa dijadual berdepan wakil Mesir yang menghuni ranking ke-101, Hana Ismail pada pusingan kedua, esok.

“Perlawanan esok akan lebih mencabar kerana dia lawan sukar. Saya perlu lakukan yang terbaik esok. Ini adalah pertemuan pertama kami tapi saya pernah melihat aksinya ketika menentang Ainaa Amani pada kejohanan Trofi Tuanku Muhriz, minggu lepas.

“Bagaimanapun saya tiada tekanan kerana lawan saya itu di ranking lebih tinggi dan saya hanya akan melangkah ke gelanggang untuk memberikan aksi terbaik,”  katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan