SUKAN > BERITA

Su Yin Makin Garang – Widianto

11/10/2024 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto kagum dengan gaya permainan pemain beregu campuran negara Cheng Su Yin yang semakin menjadi dan mula mempamerkan taringnya, sejak akhir-akhir ini.

Widianto berkata beliau gembira melihat prestasi dipamerkan pemain berusia 21 tahun yang sebelum ini bergelut menampilkan persembahan baik di atas gelanggang biarpun memiliki kualiti seperti ditunjukkannya dalam sesi latihan.

“Su Yin sudah semakin berani dari segi perjuangannya di atas gelanggang namun masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki untuk kemahirannya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Bekas pemain Indonesia itu juga berharap agar Hoo Pang Ron dapat menggunakan pengalaman yang ada bagi membimbing pasangannya Su Yin sekali gus mampu membentuk gandingan lebih mantap satu hari nanti.

“Pang Ron berumur 26 tahun dan saya harap beliau mampu menjadi ketua kepada Su Yin,” katanya.

Pasangan ranking ke-28 dunia yang digandingkan sejak tahun lepas mempamerkan potensi dengan mengejutkan gandingan ke-15 dunia dari Taiwan, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang pada pusingan kedua Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland dengan keputusan 21-19, 21-12.

Pang Ron-Su Yin bakal berdepan rakan senegara yang juga gandingan ke-10 dunia Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di suku akhir Terbuka Artik 2024 hari ini selepas pasangan profesional itu menumpaskan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 22-20, 21-16, semalam.

Bulan lepas, juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 itu melakar kejutan ke atas pasangan kelapan dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-18, 21-18 pada suku akhir Terbuka Macau 2024.

Bagaimanapun, langkah mereka terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada gandingan ke-11 dunia dari Indonesia, Dejan Fernandisyah-Gloria Emanuelle Widjaja, 15-21, 21-17, 14-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan