WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MINDEF KAJI SEMULA SOP PENUGASAN ANGGOTA TENTERA - ADLY

07/07/2024 07:51 PM

MACHANG, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan menambah baik aspek keselamatan serta komunikasi anggota tentera semasa melaksanakan penugasan di lapangan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata walaupun setiap kemalangan atau kejadian yang berlaku tidak dijangka, persediaan perlu dibuat dari semasa ke semasa bagi berdepan sebarang kemungkinan.

"Kita tahu dalam operasi atau latihan akan berlaku kemalangan tidak berbau, namun pada masa sama dari segi persediaan perlu dilakukan untuk memastikan bekalan makanan dan sebagainya mencukupi untuk menyelamatkan nyawa mereka ketika berada dalam operasi.

"Walaupun anggota tentera telah diberikan latihan terutama berkait dengan ikhtiar hidup, kita tetap akan membuat penilaian dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya kepada pemberita selepas menziarahi veteran ATM Hassan Ahmad, 63, di Kampung Chekok, Temangan di sini hari ini.

Semalam, anggota tentera Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, daripada pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) ditemukan selamat oleh kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) selepas dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang, Sarawak, pada 18 Jun lepas.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq Hilmi yang lengkap bersama peralatan dan senjata ketika dijumpai selepas 17 hari SAR dilancarkan, masih berada dalam keadaan lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan