WILAYAH - UTARA > BERITA

KULIT LEMBU JADI PUNCA REZEKI ZULKIFLI

09/07/2024 12:37 PM

Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek

TELUK INTAN, 9 Julai (Bernama) -- Menu Sambal Taun Belulang daripada kulit lembu yang sering dimakan sejak kecil mencetuskan idea buat Zulkifli Akhiar untuk mengkomersialkan kulit berkenaan sehingga mampu menjana pulangan pendapatan sekitar empat angka sebulan.

Zulkifli, 60, dari Kampung Selabak di sini yang menjual kulit lembu siap diproses sejak 10 tahun lepas berkata kulit lembu atau belulang merupakan makanan tradisi popular dalam kalangan masyarakat Jawa namun ketika ini ia turut digemari oleh pelbagai golongan masyarakat.

Beliau yang pada mulanya hanya menjual kulit lembu secara kecil-kecilan kerana tidak mahu ia pupus ditelan zaman, tidak menyangka menerima permintaan yang tinggi kebanyakannya daripada pengusaha kedai makanan sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu dan Kedah.

"Setiap bulan saya perlu menghasilkan kira-kira 700 kilogram (kg) kulit lembu yang telah siap diproses untuk memenuhi permintaan pelanggan tetap, namun pada Ramadan saya menerima tempahan sekali ganda.

"Saya menjual kulit lembu ini pada harga RM13 sekilogram. Dengan dibantu empat pekerja, saya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM7,000 sebulan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Zulkifli yang memiliki empat anak berkata proses penghasilan kulit lembu sememangnya agak rumit selain memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Bekalan kulit lembu, katanya diperoleh di sekitar Bagan Datuk, Perak serta Sabak Bernam, Selangor pada harga RM30 hingga RM40 bagi sekeping kulit lembu (sekeping bersamaan dengan seekor lembu).

Beliau berkata bekalan kulit lembu mudah diperoleh semasa musim perayaan Aidiladha namun ada ketikanya agak sukar mendapat bekalan hingga terpaksa membelinya pada harga yang tinggi.

“Kulit lembu perlu dibasuh terlebih dahulu untuk membuang sisa darah sembelihan dan perlu disidai lima ke enam bulan untuk proses pengeringan, sekiranya cuaca panas terik empat bulan sudah cukup untuk keringkannya,” katanya.

Menurut Zulkifli kulit lembu kemudian perlu dibakar di bahagian atas dan bawah dengan sempurna menggunakan kayu api sehingga kulit bertukar warna kehitaman, seterusnya perlu diberus menggunakan berus dawai untuk membuang bulu serta kotoran yang terdapat pada kulit lembu itu.

"Setelah selesai proses membakar dan memberus, kepingan kulit lembu dipotong kecil dan dikikis dengan pisau untuk membuang lemak seterusnya direndam dengan air bersih selama setengah jam. Kepingan kulit lembu kemudian direbus hingga satu jam setengah bertujuan melembutkan tekstur dan menjaga kualitinya.

"Proses terakhir ialah kulit lembu yang telah siap diproses dibungkus dalam plastik dan disimpan dalam peti sejuk beku sebelum dijual kepada pembeli," katanya.

Zulkifli berkata kulit lembu siap proses mampu bertahan selama enam bulan hingga satu tahun apabila disimpan dalam peti sejuk dan kemudian boleh dijadikan pelbagai menu masakan seperti masak lemak cili padi, taucu dan sambal goreng.

Teksturnya yang kenyal dan hampir sama dengan perut lembu, katanya menjadikan kulit lembu atau belulang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan