WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PARLIMEN: 774 PROGRAM BERKAITAN DIGITAL, ICT DILAKSANAKAN DI SARAWAK HINGGA JUN - KPM

15/07/2024 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Sebanyak 774 program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) berkaitan digital atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dilaksanakan di Sarawak berdasarkan statistik Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia, sehingga 15 Jun lepas. 

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu seramai 81,791 guru terlibat bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan amalan nilai murni serta ciri profesional masing-masing seiring keperluan semasa pendidikan.

“Selain itu, pada 2023, seramai 19 guru dari Sarawak dilantik sebagai Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD). Mereka diberi latihan oleh rakan strategik untuk menyebar luas pengetahuan dan pengalaman kepada guru-guru di sekitar mereka dan seramai 8,011 guru telah diberi bimbingan oleh GPGD di Sarawak.

“Dari aspek penyediaan persekitaran digital kondusif, sebanyak 27 Pusat Kegiatan Guru dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Sarawak telah dilengkapi Studio Digital dan Digital Maker Hub bagi memastikan latihan kepada guru berkaitan digital dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai jumlah guru di Sarawak yang telah dilatih untuk kompeten dalam mengaplikasikan teknologi digital dalam PdP, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong  berkata KPM dengan kerjasama Pixlr juga telah melatih 92 guru di Sarawak pada 23 Mei lepas bagi meningkatkan kompetensi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Selain itu, Wong berkata pihak kementerian antara lain telah menaik taraf teknologi fiber di sekolah-sekolah negeri ini dengan meningkatkan kelajuan capaian dari 100 mbps (kelajuan minimum) kepada 300 mbps melalui perolehan baharu perkhidmatan Internet bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025.

“Bagi sekolah yang menggunakan teknologi satelit, kelajuan juga ditambah dari 30 mbps kepada 100 mbps dengan penambahbaikan kuota dari 100 gigabyte ke satu Terabyte,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan