WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISTIADAT PERTABALAN: PM ANWAR, LEE HSIEN LOONG TIBA DI ISTANA NEGARA

20/07/2024 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim hari ini. 

Beliau tiba bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Anjung Utama Istana Negara pada 8.45 pagi.

Turut hadir Menteri Kanan Singapura yang juga bekas Perdana Menteri negara itu Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching.

Pada Khamis, Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan Lee antara kumpulan pemimpin asing terpilih yang diundang oleh Sultan Ibrahim untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir turut hadir bersama kira-kira 700 tetamu yang lain.

Ketibaan tetamu kehormat itu disambut Menteri Komunikasi yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Fahmi Fadzil dan isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan