WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Selangor Diadakan Malam 30 Ogos

05/08/2024 12:44 PM

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri Selangor akan diadakan pada malam 30 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Seksyen 14 di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 10,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan tahunan itu yang akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Akan ada persembahan daripada pasukan perbarisan serta penyampaian tokoh kemerdekaan negeri dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Penjawat Awam Selangor dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pusat khidmat masyarakat di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor untuk membeli bendera bagi diagihkan kepada masyarakat secara percuma.

“Bendera itu akan diagihkan di rumah-rumah di kawasan kampung serta bandar dan saya arahkan pembelian (bendera) berkenaan dilaksanakan minggu ini dalam usaha untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.  

“Bendera yang kita kibarkan ini melambangkan jiwa bangsa merdeka yang harus kita tanamkan dalam hati sanubari rakyat dan anak-anak kita iaitu generasi iaitu pelapis masa depan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 menggesa semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan pejabat masing-masing.

Anwar berkata beliau berharap semua rakyat dapat menjayakan misi itu seiring tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan