BERITA TERGEMPAR   ACE Market-bound Solar District Cooling Group Bhd aims to raise RM45.09 million from IPO; scheduled to list on Sept 19, 2024 | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Vetece Yang Baru Disenarai Di Pasaran ACE Sasar Luas Operasi Di Singapura

28/08/2024 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) perusahaan, Vetece Holdings Bhd berhasrat meluaskan dan memperkukuh operasi di Singapura berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Chan Wai Hoong berkata hasil yang diperoleh daripada langkah penyenaraian itu akan membolehkan syarikat mengembangkan perkhidmatan kepada semua syarikat operasi di rantau Asia.

“Saya berpendapat ini peluang baik untuk kami memanfaatkan hasil ini bagi memperluas dan mengukuhkan operasi kami di Singapura, bukan sahaja untuk meneroka pasaran Singapura, malah di rantau Asia Pasifik.

"Ia berikutan banyak ibu pejabat serantau terletak di Singapura," katanya kepada pemberita selepas penyenaraian Vetece Holdings di bursa hari ini.

Vetece Holdings dibuka pada 50 sen, mencatat premium 25 sen daripada harga terbitan 25 sen, dengan 6.99 juta saham didagangkan.

Chan berkata langkah pengapungan syarikat di Pasaran ACE akan menambah baik penjenamaannya dan menggalakkan pelanggan memanfaatkan nilai dan perkhidmatan projek yang lebih besar.

Menurutnya penyenaraian itu akan membantu meningkatkan kehadiran jenama syarikat memandangkan ia berhasrat untuk muncul sebagai syarikat IT Malaysia terkemuka yang menyediakan perkhidmatan digital berskala besar.

“Selain itu, banyak peluang untuk mengembangkan perkongsian teknologi kami berikutan beberapa rakan kongsi teknologi telah menemui kami. Kami mahu meraih projek yang lebih besar pada masa hadapan,” kata Chan.

Syarikat itu telah mengumpulkan sebanyak RM24.5 juta daripada tawaran awam permulaannya.

Vetece dalam kenyataan berasingan berkata, daripada hasil itu, kumpulan telah memperuntukkan RM2.2 juta (9.0 peratus) untuk pengembangan produk dan perkhidmatan teras baharu termasuk penyelesaian pengendalian data dan analisis dipacu kecerdasan buatan baharu.

Sebanyak RM3.3 juta (13.4 peratus) akan dilaburkan untuk mengukuhkan operasi di Singapura manakala RM3.8 juta (15.5 peratus) diperuntukkan bagi menubuhkan pusat kecemerlangan untuk penyelesaian perisian.

Kumpulan akan menggunakan RM6.5 juta (26.6 peratus) untuk yuran pelesenan perkakasan dan perisian, RM4.0 juta (16.3 peratus) bagi pembayaran balik pinjaman manakala baki RM4.7 juta (19.2 peratus) untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan