WILAYAH - SELATAN > BERITA

Jauhi Propaganda Negatif Cetus Pergolakan Sesama Masyarakat - Ab Rauf

31/08/2024 12:28 AM

JASIN, 30 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan masyarakat agar menjauhi persepsi negatif dengan mengada-adakan propaganda yang boleh mencetuskan pergolakan sesama komuniti.

Beliau berkata masyarakat perlu terus memperkukuh semangat perpaduan dan suburkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menanamkan roh semangat mencintai negeri dan negara ini.

"Saya mengajak semua, sama-sama kita menyematkan kebijaksanaan Hang Tuah dan keberanian Hang Jebat pahlawan Melayu kebanggaan Melaka untuk terus melestarikan negeri ini agar hasilnya kelak dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Kemerdekaan bersempena dengan Majlis Sambutan Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Orang Kampung di Merlimau di sini malam ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri komited untuk melaksanakan agenda-agenda pembangunan yang dekat di hati rakyat.

Beliau berkata agenda itu seperti projek perumahan kos rendah, penambahbaikan projek kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan serta kemahiran, pemberian kemasukan percuma di pusat pelancongan Melaka seterusnya menangani kos sara hidup rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan