BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | 

Biro Kredit Malaysia Dan Singapura Sokong Pemberian Pinjaman - Moody’s

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) --  Malaysia dan Singapura merupakan dua negara di ASEAN yang mempunyai biro kredit mantap yang mengumpul data meluas daripada pelbagai sumber, disokong oleh tahap penembusan perbankan tinggi dalam ekonomi mereka, kata Moody’s.

Agensi penarafan itu berkata biro kredit memainkan peranan penting dalam menyediakan platform berpusat kepada pemberi pinjaman untuk mendapatkan maklumat kredit peminjam, mengurangkan ketidakseimbangan maklumat dan menyokong keputusan pemberian pinjaman.

“Namun begitu, keberkesanan biro ini sebahagian besarnya bergantung kepada ketepatan maklumat kredit yang dikumpul dan dikongsikannya,” katanya menerusi nota penilaian institusi kewangan rantau ini yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Moody’s juga berkata hutang isi rumah Malaysia sebagai peratusan daripada keluaran dalam negara kasar mencecah 84 peratus pada 2023, antara yang tertinggi di rantau ini.

“Walaupun tahap kadar hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia, risiko kepada bank dikurangkan oleh nisbah pinjaman bercagar sistem perbankan yang tinggi dan peningkatan kadar faedah sederhana berbanding negara-negara serantau lain,” katanya.

Agensi itu berkata hutang isi rumah yang tinggi, ditambah dengan kadar faedah tinggi, telah meningkatkan risiko aset bagi beberapa sistem perbankan ASEAN dan melemahkan profil kredit mereka.

Kebanyakan ekonomi ASEAN menyaksikan peningkatan besar hutang isi rumah sejak sedekad lalu, disokong oleh perbelanjaan penggunaan yang kukuh dan rangkuman kewangan yang bertambah baik.

“Pada masa depan kami menjangkakan kapasiti pembayaran balik hutang peminjam runcit terus berada dalam tekanan bagi tempoh jangka sederhana berikutan persekitaran kadar faedah tinggi di rantau ini dan pertumbuhan pendapatan yang sederhana.

“Walaupun penurunan kadar faedah dan keadaan ekonomi yang stabil akan mengurangkan tekanan kualiti aset, risiko keseluruhan bagi setiap sistem perbankan akan berbeza-beza berdasarkan faktor risiko seperti tahap keberhutangan isi rumah dan penampan yang diselenggara oleh bank,” kata Moody’s.

-- BERNAMA