Malaysia Dan Turkiye Iktiraf Perjanjian MTFTA, Perluasan Pada 2024
KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye secara bersama menzahirkan pengiktirafan terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang telah berkuat kuasa sejak 2015.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan turut berpuas hati terhadap perluasan MTFTA pada 2024 yang turut merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan serta e-dagang.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin menegaskan lagi komitmen terhadap pengoperasian penuh Sistem Keutamaan Perdagangan dalam kalangan Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (TPS-OIC) dan Perjanjian Perdagangan Keutamaan D-8 (D-8 PTA) serta menyuarakan persetujuan untuk bekerjasama bagi penambahbaikan perjanjian itu.
Dalam memperakui peranan kritikal sektor swasta dalam memajukan hubungan ekonomi, Anwar dan Erdogan senada dalam menyatakan sokongan penuh terhadap kerjasama perniagaan-kepada-perniagaan untuk memperluaskan peluang perdagangan serta pelaburan.
Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik kesediaan mewujudkan Majlis Perniagaan Bersama antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Lembaga Perhubungan Ekonomi Luar Turkiye untuk meningkatkan pertukaran komersial serta membuka peluang baharu kerjasama ekonomi yang mampan.
Selain itu, Anwar dan Erdogan berkongsi komitmen untuk memajukan perkongsian serta meningkatkan kerjasama pembangunan ekonomi menerusi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) serta mengalu-alukan penyertaan Azerbaijan dalam perkumpulan itu.
Erdogan dalam lawatan rasmi dua hari Malaysia bermula 10 Feb, 2025 atas pelawaan Anwar.
Dalam lawatan itu, Erdogan mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai usaha bagi mengukuhkan hubungan dua hala selain bertukar-tukar pandangan membabitkan isu semasa serantau dan antarabangsa.
-- BERNAMA