BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

Malaysia Nyata Komitmen Teguh Terhadap Keselamatan Tenaga Di London

Oleh Salawaty Supardi

LONDON, 26 April (Bernama) -- Malaysia menyatakan komitmen teguh terhadap keselamatan serta peralihan tenaga yang adil serta berdaya tahan di peringkat global seiring dengan aspirasi dunia untuk mencapai masa depan tenaga yang bersih, mampan dan inklusif.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam satu kenyataan berkata komitmen tersebut disuarakan pada Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Tenaga selama dua hari di Lancaster House yang berakhir pada Jumaat.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Fadillah menegaskan Malaysia komited untuk memimpin peralihan tenaga rantau ini secara pragmatik dan progresif dengan memberi keutamaan kepada kebolehcapaian, keterjaminan bekalan serta kemampuan pengguna,” kata kenyataan itu.

Katanya, delegasi Malaysia mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan strategik yang melibatkan isu utama seperti integrasi sistem tenaga serantau, daya tahan terhadap perubahan iklim, keselamatan bekalan elektrik serta penggunaan teknologi baharu.

“Malaysia turut memperkukuh kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menerajui usaha merealisasikan Grid Tenaga ASEAN dan mempromosikan pendekatan menyeluruh menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

Malaysia juga memperkasa kerjasama dua hala dalam sektor tenaga menerusi pertemuan dengan pemimpin United Kingdom dan Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Dr Fatih Birol.

Kata kenyataan itu, penyertaan aktif Malaysia dalam Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Tenaga serta komitmen negara terhadap keselamatan dan peralihan tenaga yang adil dan berdaya tahan mencerminkan pelaksanaan prinsip Malaysia MADANI, khususnya nilai kesejahteraan, kemampanan serta keterangkuman.

Katanya, pendekatan pragmatik dan berpaksikan rakyat dalam memimpin peralihan tenaga seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membentuk negara yang progresif, lestari dan inklusif demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Sidang kemuncak berkenaan dianjurkan oleh IEA dan kerajaan United Kingdom serta menghimpunkan pembuat keputusan global bagi merangka dan membentuk tindakan ke arah masa depan keselamatan tenaga.

-- BERNAMA