BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | 

Kementerian Digital Bangunkan MyIKD Bagi Perkukuh Keterangkuman Digital -- Gobind

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kementerian Digital sedang membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) dalam usaha memperkukuhkan lagi perancangan dan pemantauan keterangkuman digital secara lebih menyeluruh.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata MyIKD adalah sebuah pangkalan data berpusat yang bertujuan mengukur jurang digital dalam masyarakat Malaysia.

“Menerusi MyIKD, aspek kemampuan dalam kalangan masyarakat akan diukur secara khusus dan hasil dapatan akan dimanfaatkan pada masa depan bagi membantu kerajaan merangka intervensi lebih bersasar serta memantau jurang digital secara berterusan,” katanya.

Gobind berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai metrik yang digunapakai oleh Kementerian Digital bagi mengukur kemajuan Ekonomi Digital Malaysia bagi tempoh 2025-2030, di Dewan Rakyat hari ini.

Ku Abdul Rahman juga bertanyakan mengenai langkah Kementerian Digital bagi memastikan usaha digitalisasi tidak melebarkan ketidaksamaan sosial, terutama dari segi akses kemampuan.

Gobind berkata berdasarkan perkembangan kemajuan dalam sektor ekonomi digital ini, kementerian itu sentiasa komited dalam memastikan usaha digitalisasi tidak akan menambah ketidaksamaan sosial berkenaan, termasuk dengan menjadikan keterangkuman digital sebagai prinsip teras pelaksanaan dasar.

“Komitmen ini diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif dan program-program yang dilaksanakan secara inklusif melibatkan semua golongan masyarakat supaya manfaat digitalisasi dapat dinikmati secara saksama,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai faedah MyIKD kepada pembangunan sosioekonomi negara, Gobind berkata MyIKD juga berfungsi sebagai mekanisme penting bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan teknologi digital di negara ini. 

MyIKD juga katanya, menilai beberapa aspek utama termasuk kebolehcapaian ke atas teknologi, kemampuan milik serta tahap kesediaan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi baharu.

-- BERNAMA