KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Seorang anggota polis yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas (16 Okt) selamat pulang ke rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jalan USJ 8, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata anggota berusia 40 tahun itu dilihat memasuki kuarters berkenaan pada 1.45 pagi oleh anggota yang bertugas.
“Pegawai penyiasat kemudian dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum membawanya ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat laporan polis dan menghubungi isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata anggota berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sihat, serta memaklumkan bahawa sepanjang tempoh menghilangkan diri, dia berada di beberapa masjid sekitar Morib dan Putra Heights.
Semalam, Wan Azlan dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan anggota berkenaan selepas dia keluar dari rumah pada Khamis dan gagal dikesan.
Ahli keluarga anggota itu kemudian membuat laporan polis pada kira-kira 9.15 malam selepas semua usaha mencarinya tidak berhasil.
-- BERNAMA