AM

JAS Sasar 3,000 Metrik Tan Kutipan Tahunan E-sisa Isi Rumah Mulai 2026 

02/11/2025 08:52 AM

KLANG, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan kutipan tahunan sebanyak 3,000 metrik tan (MT) e-sisa (e-waste) isi rumah seluruh negara mulai tahun hadapan, iaitu peningkatan daripada 2,000 MT tahun ini.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata peningkatan sasaran itu dsejajar dengan kenaikan penggunaan barangan elektronik dalam kalangan masyarakat ketika ini.

“Peningkatan ini sejajar dengan usaha JAS yang turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak-pihak lain seperti pusat beli-belah (untuk mewujudkan pusat pengumpulan e-sisa) supaya memudahkan orang ramai untuk pergi dan menghantar e-sisa ini.

“Kalau tidak mereka perlu hantar ke kilang e-sisa untuk diproses. Insya-Allah kita akan tambahkan pusat-pusat pengumpulan ini dan kita ada laman web ewaste.doe.gov.my untuk masyarakat mencari pusat pengumpulan e-sisa berhampiran,” katanya.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom E-Sisa 2025 di pusat beli-belah AEON Bukit Raja di sini hari ini, bersempena dengan Sambutan Hari E-Sisa Antarabangsa yang diraikan pada 14 Oktober setiap tahun.

Laman web e-waste dibangunkan oleh JAS bertujuan memudahkan urusan penghantaran e-sisa dan mengenal pasti pusat-pusat pengumpulan yang berhampiran, serta sebagai wadah penyampaian maklumat kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan yang lestari.  

Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff berkata sejak pelaksanaan program pengumpulan e-sisa isi rumah 10 tahun lepas, sebanyak 13,363 MT e-sisa isi rumah berjaya dikumpulkan dan menunjukkan tahap kesedaran awam yang masih masih rendah. 

Untuk itu, beliau berkata kempen kesedaran awam terus digiatkan secara berterusan bagi membentuk masyarakat yang prihatin terhadap pengurusan e-sisa dan membudayakan amalan kitar semula yang betul serta mesra alam.

Wan Abdul Latiff berkata JAS akan terus memperkukuh sistem pengurusan e-sisa negara berasaskan prinsip Extended Producer Responsibility (EPR) dan Shared Responsibility, yang menuntut kerjasama semua pihak dalam rantaian nilai e-waste daripada pengeluar sehingga pengguna. 

Beliau berkata antara inisiatif utama JAS dalam memperkukuh pengurusan e-sisa isi rumah termasuklah pelaksanaan mekanisme pengurusan yang melibatkan pengeluar, pengimport, pengguna, pusat pengumpulan berdaftar dan fasiliti pemerolehan kembali yang dilesenkan oleh JAS.

“Selain itu, penganjuran sesi libat urus bersama industri, PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti pengguna bagi memperkukuh mekanisme pengurusan e-sisa isi rumah.

“Di samping itu, pelaksanaan Hari Pengumpulan E-Sisa Nasional pada setiap Sabtu terakhir setiap bulan di seluruh negara sebagai platform mendidik masyarakat mengenai kepentingan pengurusan e-sisa dari isi rumah yang betul,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata sehingga kini terdapat 157 pusat pengumpulan e-sisa isi rumah berdaftar dengan JAS di seluruh negara dan jumlah itu disasarkan meningkat saban tahun. 

Karnival Jom E-Sisa 2025 yang berlangsung selama sehari bermula 10 pagi hingga 10 malam itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti program pengumpulan e-sisa, pertandingan mewarna, kuiz interaktif, sesi bicara saku, penampilan maskot e-sisa bernama E-Cha, reruai pameran dari rakan strategik serta tawaran hadiah dan cenderamata menarik kepada pengunjung. 

Turut hadir pada majlis perasmian itu Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Mahadi Sukarno, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS Dr Norhazni Mat Sari, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS Azuri Azizah Saedon dan Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS Azlan Ahmad.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486199