PASIR MAS, 4 Nov (Bernama) -- Menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda bulan ini, peniaga di Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang mula mengambil langkah awal dengan menyusun dan meletakkan barangan pada rak tinggi serta pelantar khas, bagi mengelak kerugian akibat banjir.
Persiapan ini bukan sahaja bertujuan melindungi stok, tetapi juga memastikan kelangsungan perniagaan yang menjadi sumber rezeki keluarga mereka.
Pengalaman menghadapi banjir saban tahun, membuatkan peniaga lebih berhati-hati dan kreatif dalam menyusun barangan. Daripada rak setinggi tiga meter hingga rak beroda yang mudah dialihkan, setiap langkah diambil dengan teliti bagi memastikan stok dan peralatan tidak rosak, sekali gus mengurangkan kerugian besar seperti yang dialami sebelum ini.
Bagi peniaga perkakasan, Mohamad Othman, 69, yang sudah lebih 30 tahun menjual barangan dapur, bayi dan keperluan rumah, pengalaman menghadapi banjir membuatkan beliau lebih berwaspada kali ini.
Walaupun menyerahkan urusan perniagaan kepada anaknya Noriha Mohamad, 40, beliau tetap turun memantau persiapan terutama ketika hujan lebat mula turun sejak minggu lepas.
“Saya buat dan beli rak besi tinggi tiga meter, upah tukang pasang sehingga RM30,000 kerana bimbang air naik tinggi seperti tahun lepas. Sekarang, barang-barang stok kami mula diletakkan di tingkat atas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mohamad berkata semangat untuk meneruskan perniagaan tetap kuat, kerana ia sumber rezeki keluarga sembilan beranak.
Beliau berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya berbincang dengan penduduk setempat, bagi menyelesaikan masalah saliran tersumbat yang kerap menjadi punca banjir teruk.
“Orang kampung lebih tahu laluan air. Jadi, apabila mahu buat longkang atau parit, biarlah munasabah dengan keadaan sebenar dan jangan tutup laluan air keluar,” katanya.
Setiap kali banjir, perniagaannya akan lumpuh sekurang-kurangnya seminggu akibat lumpur tebal yang perlu dibersihkan, selain kerugian besar akibat stok rosak.
“Tahun lepas, saya terpaksa lelong barangan lebih RM40,000 kerana bau hapak pada pakaian seperti selimut dan karpet, tidak boleh dijual seperti biasa,” katanya.
Darukni Zulkifli, 40, peniaga pakaian yang mengusahakan Kedai Aida Qistina sejak 11 tahun lepas, turut mengambil langkah kreatif dengan menambah tayar pada 50 rak, bagi memudahkan pergerakan barangan semasa banjir.
“Memandangkan setiap tahun banjir, saya panggil tukang pasang tayar baru pada rak pakaian kerana yang lama sudah berkarat. Rak beroda boleh ditolak atau dialihkan ke tempat lebih tinggi. Tahun ini saya angkat setakat paras dada, kerana tahun lepas paras pinggang pun tidak cukup,” katanya.
Darukni berkata pengalaman banjir tahun lepas memberi trauma, kerana pernah menanggung kerugian besar apabila mesin jahit dan mesin duit bernilai hampir RM2,000 rosak terkena air.
“Kalau air masuk kedai, semua baju basah. Tahun lepas saya terpaksa lelong tudung daripada RM150 jadi RM35, tudung bawal pun hanya RM5,” katanya.
Bagi peniaga makanan, Rahmah Abdullah, 74, yang mengusahakan kedai mi celup Ma-Kita di belakang sebuah sekolah Cina di sini, turut mengambil langkah awal dengan menyusun barangan di atas meja dan membuat pelantar kecil.
“Kalau banjir, kami sudah tahu apa perlu dibuat kerana pengalaman sebelum ini air naik pada waktu malam dan tidak sempat pindahkan semua barang. Tahun lepas, saya rugi hampir RM10,000 apabila enjin air dan peralatan dapur rosak,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata peniaga di Rantau Panjang kini lebih bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menambah baik sistem rak dan penyimpanan barangan bagi mengurangkan kerugian sekiranya banjir melanda.
-- BERNAMA