KUANTAN, 31 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mengingatkan orang ramai, khususnya komuniti maritim supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri berikutan peralihan cuaca ke fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini hingga Mac 2026.
MTL kebiasaannya membawa tiupan angin kencang antara 40 hingga 50 knot serta hujan lebat berterusan, sekali gus meningkatkan risiko kecemasan di laut termasuk kejadian bot karam, nelayan hilang dan lemas di pantai.
Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, Maritim Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi musim tengkujuh ini.
“Maritim Pahang mempunyai 10 aset operasi terdiri daripada dua kapal kelas Offshore Patrol Vessel (OPV), sebuah kapal kelas sederhana, dua kapal kelas kecil dan lima bot pemintas.
“Semua aset ini berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi tujuan penguatkuasaan dan misi menyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau memaklumkan pihaknya turut bersedia melaksanakan misi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) di perairan Pahang, khususnya sekitar Pulau Tioman sekiranya berlaku sebarang insiden sebelum dibawa ke Pos Maritim Teluk Gading, Rompin.
“Namun begitu, kami menyeru komuniti maritim agar mengutamakan langkah pencegahan dan tidak mengambil risiko turun ke laut ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.
Orang ramai juga disaran menangguhkan aktiviti rekreasi di pulau dan pantai semasa cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti lemas atau terkandas.
Mazlan turut menasihatkan orang awam supaya menyemak ramalan cuaca terlebih dahulu sebelum keluar ke laut, memastikan bot berada dalam keadaan baik serta dilengkapi jaket keselamatan, selain membawa alat komunikasi seperti radio atau telefon bimbit dan memaklumkan destinasi pelayaran kepada ahli keluarga atau rakan.
Masyarakat juga diingatkan menyimpan nombor talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 / 7368 bagi melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut.
-- BERNAMA