SEPANG, 7 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjalani pemeriksaan dan kerja pembaikan dari 12 tengah malam hingga 5 pagi setiap hari, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan serta keselesaan penumpang.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, KLIA memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan bas ulang-alik akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal tidak terjejas.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk mengekalkan ketersambungan lapangan terbang yang selamat, efisien dan selesa,” menurut kenyataan itu.
Perkhidmatan Aerotrain KLIA digantung pada Mac 2023 untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan susulan mengalami kerosakan.
Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu disambung semula sepenuhnya pada 1 Julai tahun ini, selepas melalui kerja-kerja naik taraf bernilai RM456 juta, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi bernilai RM742 juta oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan serantau terkemuka.
-- BERNAMA