JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tujuh Warga Asing Bersembunyi Dalam Semak

18/11/2025 06:04 PM

JOHOR BAHRU, 18 Nov (Bernama) -- Polis menahan tujuh pendatang tanpa izin di pesisir pantai Forest City, Tanjung Kupang di sini malam tadi. 

Pemangku Ketua Polis Johor DCP Abdul Latif Mehat berkata kesemua warga asing itu ditahan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ketika sedang melakukan penugasan Ops Taring Gelora.

“Ketika rondaan dilakukan oleh anggota bot ronda RH 67 dan PC 4 sekitar 12.30 tengah malam, mereka mengesan sekumpulan individu yang sedang bersembunyi di kawasan semak.

“Menerusi pemeriksaan dijalankan, polis menahan enam lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun setelah mereka gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.

“Kesemua warga asing itu dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah. Selain itu, polis turut merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.

Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk atau keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak dibenarkan atau tidak diwartakan serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tiada dokumen perjalanan yang sah ketika berada di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492308