BEIJING, 5 Dis (Bernama-CMG) -- Isteri Presiden China Xi Jinping, Peng Liyuan dan isteri Presiden Perancis Emmanuel Macron, Brigitte Macron bersama-sama mengunjungi Teater Seni Rakyat Beijing (BPAT) pada Khamis.
Brigitte menemani Presiden Macron dalam lawatan rasmi ke China bermula dari 3 hingga 5 Disember.
Ketika berada di Muzium Teater BPAT, Peng dan Brigitte diberi taklimat mengenai sejarah perkembangan BPAT serta program pertukaran dan interaksi antara teater itu dengan komuniti teater Perancis.
Di pusat teater, Peng menjemput Brigitte untuk bersama-sama menikmati pertunjukan drama dan beramah mesra dengan para pelakon.
Peng berkata dramatis China dari generasi ke generasi sentiasa menyemarakkan budaya tradisional dalam karya ciptaan mereka, di samping belajar daripada seni teater asing dan bergiat aktif memajukan pembangunan inovatif seni berkenaan.
Beliau turut menzahirkan harapan supaya artis kedua-dua negara dapat mengukuhkan pertukaran dan pembelajaran bersama serta menghasilkan lebih banyak karya seni yang cemerlang.
-- BERNAMA-CMG