AM > BERITA

DEWAN RAKYAT LULUS RUU KECEKAPAN DAN KONSERVASI TENAGA 2023 DENGAN PINDAAN

25/06/2024 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 bagi menimbang pindaan yang dibuat oleh Dewan Negara mengikut Peraturan Mesyuarat 73 (1).

RUU yang dikemukakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir itu, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan dua Ahli Parlimen.

Ketika mengemukakannya, Akmal Nasrullah berkata pindaan membabitkan Fasal 1 (3) bertujuan memperuntukkan pindaan itu selari dengan klausa-klausa dalam Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dan Akta Bekalan Elektrik 1990, yang penggunaanya tertangguh kepada Sarawak.

“Dalam menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak, kuasa autonomi Sarawak dalam bidang elektrik dan kepelbagaian sumber tenaga yang ada di Sarawak, perlu dikekalkan dalam memastikan hak-hak negeri Sarawak dilindungi.

“Manakala Sabah dikecualikan daripada pemakaian dan penguatkuasaan rang undang-undang ini, memandangkan kuasa kawal selia bekalan elektrik berada di bawah bidang kuasa negeri Sabah mulai 3 Jan 2024,” katanya ketika mengemukakan pindaan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Akmal Nasrullah berkata pengurusan kecekapan tenaga elektrik telah diperuntukkan dalam Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan akan dikuatkuasakan melalui Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap 2024.

Beliau berkata Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) sedang merangka pelan tindakan kecekapan tenaga Sabah, yang merupakan satu inisiatif strategik yang telah dikenal pasti dalam Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040.

“Justeru cadangan pindaan kepada Fasal 1 (3) rang undang-undang ini, akan menjelaskan dan menghormati hak-hak negeri Sabah dan Sarawak serta hanya terpakai kepada Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja,” katanya.

Sebelum ini Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 pada Oktober 2023 sebelum Dewan Negara meluluskannya dengan pindaan pada April tahun ini.

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan