AM > BERITA

AKTIVIS YAHUDI SERU MALAYSIA TERUS BERJUANG UNTUK PALESTIN

23/07/2024 07:24 PM

PETALING JAYA, 23 Julai (Bernama) -- Aktivis Yahudi Amerika Syarikat (AS), Rabai Yisroel Dovid Weiss menyeru agar Malaysia terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin sehingga mereka mendapatkan semula tanah mereka yang telah diduduki selama beberapa dekad.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi perbincangan khas di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia di sini hari ini, Weiss berkata beliau amat gembira dengan sokongan rakyat Malaysia yang berdiri teguh mempertahankan rakyat Palestin.

“Ia (Israel) dilarang mengikut agama Yahudi dan ia adalah jenayah kerana ia tidak boleh diterima walaupun satu inci untuk menduduki Palestin,” kata Weiss yang juga jurucakap kumpulan agama sedunia Neturei Karta, sebuah kumpulan anti-Zionis.

“Dalam 76 tahun kewujudan negara (Israel), mereka (Zionis) telah bertindak bertentangan dengan ajaran Yahudi, bertentangan dengan (kitab suci) Taurat dan hanya menyamar sebagai agama.

“Rabai di seluruh dunia sentiasa berkata bahawa mereka (Zionis) tidak mempunyai hak untuk mewujudkan negara Israel dan tidak hak untuk apa yang mereka lakukan di Gaza,” katanya.

Oleh itu, dunia harus berjuang untuk gencatan senjata serta pembubaran segera negara Israel, kata aktivis itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan