DUNIA > BERITA

PERBINCANGAN MENTERI LUAR CHINA, UKRAINE DIADAKAN DI GUANGZHOU

25/07/2024 03:27 PM

GUANGZHOU, 25 Julai (Bernama-CMG) -- Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Menteri Luar, Wang Yi telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Dmytro Kuleba di Guangzhou semalam.

Wang berkata pemimpin kedua-dua negara telah menekankan kepentingan merancang agenda untuk mendorong perkembangan hubungan China-Ukraine dari sudut jangka masa panjang di samping memacu kerjasama bilateral.

Menurut Wang, rakyat pelbagai negara boleh memanfaatkan peluang yang dibawakan modenisasi ala China.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini China menjadi rakan dagang dan negara pengimport terbesar dalam bidang produk pertanian Ukraine, antara negara kumpulan pertama yang menyokong dan menyertai pembinaan bersama dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Peningkatan pesat jumlah perdagangan bilateral pada separuh tahun pertama tahun ini menunjukkan terdapat banyak peluang dan potensi kerjasama antara kedua-dua negara.

"Oleh itu, kedua-dua pihak perlu mengambil tindakan yang tulen untuk memacu kerjasama dalam pelbagai bidang dengan memanfaatkan mekanisme yang sedia ada. China akan terus memperluas import bijirin dari Ukraine di samping bertindak memastikan kelancaran saluran logistik dan keselamatan bijirin antarabangsa terjamin.

“Selain itu, China berterima kasih kepada Ukraine yang memberi bantuan kepada pemastautin China khususnya kumpulan pelajar di negara itu semasa tercetusnya konflik terbabit. Ukraine diharapkan terus mengambil langkah yang berkesan untuk memastikan keselamatan pemastautin dan agensi China di negara itu," kata Wang.

Mengulas lanjut Wang menekankan bahawa China kekal komited kepada usaha mendorong penyelesaian krisis Ukraine secara politik.

Baru-baru ini, Ukraine dan Rusia telah mengeluarkan isyarat dan kesediaan untuk mengadakan rundingan. China menyokong sebarang usaha yang bermanfaat bagi keamanan, bersedia terus memainkan peranan yang bersifat membina dalam memperjuangkan matlamat gencatan senjata dan pemulihan rundingan damai.

Sementara itu, Dmytro Kuleba berkata Ukraine konsisten dalam menyokong pendirian China tentang isu Taiwan serta mengamalkan prinsip Satu China.

Ukraine kata beliau mengambil berat terhadap pendapat China melibatkan krisis negaranya, dan sudah meneliti "6 konsensus" anjuran China dan Brazil.

Menurut beliau, Ukraine sanggup dan sudah bersiap untuk mengadakan rundingan dengan Rusia.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan