EKONOMI > BERITA

TOP GLOVE KEMBALI RAIH UNTUNG PADA SUKU KETIGA TAHUN KEWANGAN 2024, UNTUNG BERSIH RM50.67 JUTA

19/06/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2024 berakhir 31 Mei 2024, meraih keuntungan bersih RM50.67 juta berbanding kerugian bersih RM130.59 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023.

Perolehan pada suku berkenaan turut meningkat sebanyak 20 peratus kepada RM636.88 juta berbanding RM530.62 juta sebelum ini.

“Prestasi kumpulan yang lebih mantap didorong terutama oleh permintaan sarung tangan yang lebih teguh apabila pelanggan menambah stok inventori sarung tangan mereka selepas menghabiskan lebihan stok.

"Penggunaan yang lebih tinggi, selain langkah pengoptimuman kualiti dan kos yang berterusan turut memberi kesan positif kepada pendapatan," kata pembuat sarung tangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurutnya walaupun kos bahan mentah meningkat pada suku ketiga tahun kewangan 2024, kumpulan berjaya mengurangkan kos pengeluaran melalui pelbagai inisiatif penambahbaikan.

Harga bahan mentah untuk suku ketiga tahun kewangan 2024 mencatat aliran menaik pada suku ke suku, dengan purata harga lateks pekat asli meningkat 20 peratus kepada RM6.77 sekilogram manakala purata harga lateks nitril naik 16 peratus kepada US$0.89 sekilogram.

Selain itu, dengan permintaan sarung tangan yang semakin bertambah, kumpulan dapat berkongsi sebahagian daripada peningkatan kos dengan pelanggan melalui semakan meningkat purata harga jualan.

Selain itu, penjualan lebihan tanah membantu memperkukuh kedudukan keuntungan dan aliran tunai kumpulan, sejajar dengan objektif utama pelan pemulihannya.

“Kami gembira menyaksikan keuntungan yang kembali dicatatkan pada suku ini memandangkan industri sarung tangan yang bertambah baik, dan kami kekal menghargai rakan sealiran kerana usaha dan komitmen baik mereka telah memainkan peranan penting dalam mempercepat pemulihan kami,” kata Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan