BELANJAWAN 2024 > BERITA

Ahmad Zahid Tiba Di Timor-leste Untuk Lawatan Rasmi Tiga Hari

28/08/2024 10:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Timor-Leste bagi lawatan rasmi selama tiga hari bermula hari ini dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara. 

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Presidente Nicolau Lobato disambut oleh rakan sejawatnya yang juga Timbalan Perdana Menteri I Francisco Kalbualdi Lay dan Timbalan Perdana Menteri II Mariano Assanami Sabino serta Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh.

“Semoga lawatan rasmi ini dapat memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Timor-Leste serta dapat merencana kerjasama ekonomi dan beberapa projek kolaborasi pendidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua rakan sejawatnya. 

Menurut Wisma Putra, perbincangan dijangka menyentuh status hubungan dua hala, kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar serta perancangan bandar.

Ahmad Zahid juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antaranya melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Nasional Timor-Leste dalam pendidikan tinggi serta antara Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS) dan Dana Pembangunan Modal Insan Timor-Leste (FDCH) bagi kerjasama mobiliti pelajar biasiswa Kerajaan Timor-Leste ke Malaysia.

Beliau juga dijadual merasmikan Sesi Meja Bulat ‘Menjadikan Halal sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi Timor-Leste’ anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) esok.

Atas jemputan Kerajaan Timor-Leste, Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-25 Referendum Timor-Leste di Parlimen negara itu pada 30 Ogos.

Lawatan rasmi itu akan terus mengukuhkan lagi tahap hubungan dua hala sedia ada dan menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.

Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid diiringi oleh pegawai kanan kerajaan dan wakil HDC, UMS, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan