GURU DIDAKWA LAKUKAN KEKERASAN TERHADAP KANAK-KANAK AUTISTIK

24/07/2024 01:04 PM

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap seorang kanak-kanak lelaki autistik di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak istimewa, minggu lepas.

M. Thinesh, 33, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di pusat jagaan berkenaan di sini pada 11.50 pagi, 16 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Y. Sharvin Nair mewakili Thinesh tidak membantah syarat tambahan dan jumlah jaminan dicadangkan pihak pendakwaan. 

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan kes. 

Media sebelum ini melaporkan seorang guru direman tujuh hari sehingga esok susulan laporan polis berhubung kejadian seorang guru disyaki memukul, menendang dan menarik seorang kanak-kanak lelaki autistik sehingga terjatuh daripada kerusi di sebuah pusat jagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan