AM

BACAAN DOA AKHIR, AWAL TAHUN IRINGI SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI

06/07/2024 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024 di lima negeri malam ini diisi dengan ceramah, bacaan Yasin dan tahlil selain bacaan doa akhir dan awal tahun.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Program Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Baginda berdua berkenan bersama-sama jemaah membaca doa akhir tahun, menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta mendengar ceramah Maal Hijrah bertajuk ‘Hijrah Itu Kemerdekaan’ yang disampaikan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim, Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Di MELAKA, sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Stadium Hang Jebat, Krubong dihadiri kira-kira 50,000 orang dan dimulakan dengan bacaan doa akhir dan awal tahun oleh Mufti Kerajaan Negeri Datuk Abdul Halim Tawil.

Program turut diisi dengan bacaan Yasin dan ceramah perdana oleh pendakwah tersohor Ustaz Abdul Somad yang menerima Anugerah Murabbi Nusantara oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam ucapannya berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan syiar Islam subur di bumi Melaka dengan melaksanakan pelbagai program keagamaan termasuk  ketika Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Di JOHOR, Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Johor diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

Majlis itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr Nooh Gadot.

Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat ke Majlis Hijratul Rasul Peringkat Kelantan Tahun 2024/1446H di Masjid Al-Sultan Petra Ismail Petra, Kubang Kerian.

Tengku Muhammad Fakhry turut berkenan menganugerahkan Tokoh Hijratul Rasul 2024/1446H kepada ahli akademik Universiti Malaya Datuk Prof Dr Mohd Yakub Zulkifli Mohd Yusoff.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Jamek di Kuching.

Bacaan doa akhir tahun dipimpin Imam Besar Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi sebelum diikuti solat maghrib dan isyak berjemaah.

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan