AM

Tanaman Bawang Perak Fasa Kedua Libatkan 10 Hektar, Sasar Hasil 32 Tan Metrik

14/10/2024 11:05 AM

Oleh Razif Rosli

SUNGKAI, 14 Okt (Bernama) -- Jabatan Pertanian Perak memperluas kawasan penanaman bawang Perak sehingga 10 hektar bagi fasa kedua penanaman, sebagai usaha meningkatkan pengeluaran sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import produk tersebut.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak Norsiyenti Othman berkata kejayaan projek rintis seluas satu hektar di Kampung Kuala Bikam yang menghasilkan 3.3 tan metrik bawang pada tuaian pertama April lalu menjadi titik tolak bagi usaha memperluas penanaman bawang dalam skala yang lebih besar.

Beliau berkata inisiatif memperluaskan penanaman bawang itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan usahawan berpotensi, dengan pelaksanaan latihan semula dan pengukuhan berterusan.

"Pada masa ini, penanaman seluas empat hektar telah dimulakan di Daerah Batang Padang dan empat hektar lagi di Daerah Kinta selepas kejayaan di Kampung Kuala Bikam, dengan anggaran pengeluaran keseluruhan sebanyak 32 tan metrik.

"Tanaman rintis (Kampung Kuala Bikam) sudah memasuki fasa kedua dan secara keseluruhannya tanaman bawang di Perak seluas 10 hektar melibatkan projek di bawah selenggaraan Jabatan Pertanian Perak dan termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak,”  katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya telah menerima bekalan bawang merah kecil dalam bentuk 'bulb' seberat tiga tan metrik daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT) untuk penanaman di Daerah Batang Padang.

Sementara itu, beliau berkata kawasan penanaman akan diperluas melalui kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk menanam bawang di tanah wakaf masjid seluruh negeri, melibatkan anggaran kawasan seluas empat hektar.

"Inisiatif ini selaras dengan matlamat Perak untuk memperkasakan keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import, seperti yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad," katanya.

Norsiyenti juga memaklumkan bahawa penanaman bawang kali ini akan ditambah baik berdasarkan penemuan daripada projek rintis terdahulu, termasuk dari segi jarak penanaman, kawalan perosak dan penyakit, pembajaan, serta proses pengeringan. Penambahbaikan ini dilakukan berdasarkan hasil pembelajaran daripada lawatan ke Indonesia sebelum ini.

Katanya, pada 2022 jumlah import bagi dua jenis bawang, iaitu bawang besar dan bawang kecil adalah 685,400 tan dengan nilai mencecah RM1.58 bilion.

Berdasarkan data statistik berkenaan, Malaysia mengimport bawang sebanyak 525,055.37 tan dengan nilai RM944,990,373 dari 20 negara. 

"Jumlah import yang tertinggi adalah dari India iaitu 321,776.16 tan, Belanda (77,772.55 tan), China (47,165.48 tan), Pakistan 42,957.62 tan, Thailand 12,186.52 tan serta lain-lain negara.

"Krisis bekalan bawang pada 2020 yang berpunca daripada banjir besar di India, telah mengakibatkan kenaikan harga jualan bawang sehingga tiga kali ganda. Sejak itu, Perak menjadi negeri pertama yang memulakan langkah penanaman bawang secara komersial," katanya.

Dalam pada itu, pengusaha bawang, Alan Yang Chin Choi, 54, berkata beliau menyahut saranan kerajaan untuk mengusahakan tanaman bawang bagi memenuhi permintaan pengguna. 

"Saya berharap tanaman bawang ini akan membuahkan hasil yang lumayan kerana permintaannya tinggi di pasaran berbanding tanaman lain. Walaupun ini merupakan kali pertama saya menanam bawang, namun kerjasama dan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perak telah memudahkan proses penanaman yang mengambil masa 65 hingga 70 hari sebelum dituai," katanya. 

Bagi petani bawang pertama di Malaysia, Tan Cheng Choy, 56, beliau berasa bangga dapat menyumbang tenaga dalam projek rintis tanaman tersebut, yang berjaya menghasilkan tuaian pertama sebanyak 3.3 tan metrik sebelum ini.

"Tanaman bawang perlu disiram sekali sehari selama dua bulan sehingga hasilnya mula mencambah, manakala baja perlu ditabur sekali setiap dua minggu," katanya, sambil menambah bahawa cabaran utama dalam penanaman bawang adalah mengawal penyakit atau virus yang menyerang pokok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan