PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Terus Dibuka Tinggi, Dipacu Kenaikan Wall Street

07/08/2024 10:45 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Indeks barometer Bursa Malaysia dibuka tinggi bagi hari kedua berturut-turut pada Rabu, dipacu oleh pemulihan Wall Street susulan pembelian menyeluruh selepas mengalami kejatuhan saham, menurut peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.33 mata atau 0.84 peratus kepada 1,575.72 daripada 1,574.39 ketika ditutup Selasa.

Indeks itu dibuka 1.73 mata lebih tinggi kepada 1,576.12.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 234 berbanding 142, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,786 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 201.72 juta unit bernilai RM94.15 juta.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) menokok 294 mata, manakala Nasdaq menambah 167 mata apabila hasil Amerika Syarikat (AS) berjangka 10 tahun meningkat kepada 3.90 peratus.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata turun naik pasaran yang ketara kekal tinggi dan aktiviti penjualan mungkin muncul semula.

Beliau berkata pada masa sama, keyakinan pelabur goyah berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan China dan kekurangan pemangkin ekonominya.

“Di peringkat tempatan, sama ada peningkatan semalam akan berterusan atau sebaliknya, ia masih perlu diperhatikan kerana sentimen telah bertukar kepada keadaan berhati-hati.

“Kita perlu melihat sokongan belian berterusan di bursa tempatan dalam beberapa hari akan datang sebelum keadaan pasaran bertambah baik,” katanya kepada Bernama.

Bagi hari ini, beliau menjangka pelabur melakukan dagangan dengan berhati-hati manakala indeks berlegar dalam julat 1,570 hingga 1,580.

“Kami juga memantau perkembangan di Timur Tengah kerana ketegangan semasa yang melanda mungkin menjadi konflik berskala besar,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.12, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM13.78, CIMB naik lima sen kepada RM7.25 manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.19 dan IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM6.21.

Kaunter aktif menyaksikan keputusan bercampur-campur dengan Cape EMS susut tiga sen kepada 37.5 sen, CN Asia turun satu sen kepada 6.5 sen, manakala MQ Technology dan Ekovest masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 37.5 sen, dan Top Glove menokok 1.5 sen kepada 93 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 10.30 mata kepada 11,941.58, Indeks FBMT 100 menokok 8.14 mata kepada 11,605.13, Indeks FBM 70 meningkat 5.93 mata kepada 17,233.08, Indeks FBM ACE menambah 26.81 mata kepada 5,087.67 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 7.09 mata kepada 12,055.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.12 mata kepada 17,923.19, Indeks Tenaga menambah 4.08 mata kepada 887.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat naik 0.14 mata kepada 176.00, manakala Indeks Perladangan turun  28.08 mata kepada 7,047.36 dan Indeks Teknologi kurang 0.29 mata kepada 67.05.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan