PASARAN > BERITA

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar US

22/08/2024 08:12 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Ringgit menurun berbanding dolar US ketika ditutup hari ini menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell esok di Simposium Jackson Hole.

Pada 6 petang, ringgit ditutup pada paras 4.3760/3800 berbanding dolar US daripada 4.3750/3830 yang disaksikan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menekankan bahawa tumpuan utama adalah pada ucapan Powell semasa Jumaat nanti, yang mana peserta pasaran akan mencari petunjuk mengenai jangkaan pemotongan kadar faedah AS, yang mungkin berlaku pada bulan depan.

“Minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS 30-31 Julai yang dikeluarkan malam tadi telah menunjukkan kesediaan jawatankuasa itu bagi memulakan pemotongan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

AmBank Economic Research pula kekal optimistik mengenai potensi ringgit untuk mengukuh berbanding dolar US, mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang mantap. Firma itu beranggapan tahap 4.30-4.40 baru-baru ini boleh diuji semula dalam minggu-minggu akan datang menjelang mesyuarat Fed yang dijadualkan bulan depan, yang mana pasaran secara meluas menjangkakan pemotongan kadar pertama.

“Selain itu, kami percaya ringgit tidak mungkin mengulangi semula keuntungannya baru-baru ini dan melemah melepasi paras 4.60, disebabkan perbezaan kadar dasar semalaman (Malaysia) dan Kadar Dana Persekutuan yang terus mengecil” katanya dalam separuh kedua laporan tinjauan makroekonomi 2024.

Pada penutup, ringgit merosot berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.0051/0082 daripada 29943/3.000, melemah berbanding euro kepada 4.8744/8789 daripada 4.8637/8726 dan jatuh berbanding pound British kepada 5.7431/74893 daripada 5.6993/7097 sebelum ini.

Ia juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan itu juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3474/3507 daripada 3.3456/3519, kurang bermaya berbanding peso Filipina pada 7.76/7.78 daripada 7.74/7.76 dan jatuh berbanding berbanding baht Thailand kepada 12.7383/7552 daripada 12.7373/7676 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.4/280.9 daripada 282.2/282.9

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan