SUKAN > BERITA

ACT 2024: Laluan Speedy Tigers Ke Separuh Akhir Semakin Sukar, Dibelasah India 1-8

11/09/2024 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan gagal mencatat sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan, terbaharu tewas 1-8 kepada India pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China hari ini.

Bagai jatuh ditimpa tangga, kekalahan itu meletakkan Malaysia dalam situasi sukar untuk mara ke separuh akhir apabila menduduki tempat tercorot iaitu tangga keenam dengan satu mata hasil keputusan seri 2-2 dengan Pakistan pada Isnin dan tewas 2-4 kepada China pada Selasa lepas.

Pasukan India kendalian Craig Fulton bermula garang pada suku pertama dengan menjaringkan tiga gol menerusi dua gol padang Raj Kumar Pal pada minit ketiga, Araijeet Singh (minit keenam), dan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jugraj Singh (minit ketujuh).

India meneruskan momentum cemerlang mereka pada suku kedua, menambah dua lagi gol melalui pukulan sudut penalti oleh Harmanpreet Singh pada minit ke-22 dan gol padang oleh Raj Kumar (minit ke-25) untuk mendahului 5-0 pada separuh masa pertama.

Tidak berpuas hati dengan jumlah jaringan itu, India terus menyerang ke arah pintu gol Malaysia dan memperoleh tiga gol lagi selepas Raj Kumar melengkapkan hatriknya menerusi gol padang pada minit ke-33, diikuti oleh Araijeet (minit ke-39) dan satu lagi pukulan sudut penalti oleh Uttam Singh (minit ke-40).

Bagaimanapun tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan pada suku keempat sebelum Malaysia dihadiahkan gol saguhati menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-34.

“Kami bermula dengan kurang baik, melepaskan tiga gol mudah dalam masa singkat. Pemain seperti terlalu menghormati lawan dan hilang keyakinan diri pada awal permainan. Apabila kami ketinggalan 0-3 moral pemain juga menurun. Strategi bertahan tidak berfungsi dengan baik.

“India lebih baik dari segala aspek dan persembahan pasukan kita agak mengecewakan. Bukan mudah berada dalam situasi seperti ini. Jurulatih dan pemain perlu ambil tanggungjawab bersama untuk bangkit pada perlawanan esok,” kata ketua jurulatih Speedy Tigers Sarjit Singh menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dikongsikan kepada media hari ini.

Sarjit berkata anak buahnya tiada pilihan lain selain turun dengan misi wajib menang ke atas Jepun, esok bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan separuh akhir.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan