WILAYAH - SABAH > BERITA

Kembara Sains Borneo Libatkan 15,000 Peserta

02/08/2024 04:30 PM

LAHAD DATU, 2 Ogos (Bernama) -- Kembara Sains Borneo 2024, suatu program khas Pusat Sains Negara, akan menjelajah daerah di Sabah dan Sarawak dan mengunjungi lebih 20 sekolah, sekali gus memberi manfaat kepada 15,000 peserta.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafei berkata kembara itu membawa pengalaman pembelajaran sains bukan formal yang menyeronokkan kepada komuniti pedalaman dan luar bandar seterusnya memantapkan peranan sains, teknologi dan inovasi di kedua-dua negeri.

"Program ini bertujuan untuk memupuk minat masyarakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kaedah pembelajaran interaktif serta kreatif, pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan hands on, minds on, hearts on dilaksanakan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran program Kembara Sains Borneo 2024 yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal di sini hari ini.

Antara aktiviti program ialah sesi ceritera sebalik radas daripada saintis-saintis terkenal, sukan kinect, cabaran dron, demonstrasi sains, cabaran STEM, planetarium mini dan planet realiti maya. 

Dalam pada itu, Ruziah berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak universiti misalnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi menjayakan Kembara Sains Borneo.

"Pada tahun ini, pengisian program itu kita tambah dengan kehadiran saintis yang akan berkongsi pengalaman mereka membawa sains dalam kehidupan mereka, misalnya semalam kita bawa Prof Justin Sentian dari UMS yang menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang saintis di Antartika," katanya lagi.

Menurutnya, Kembara Sains Borneo itu akan dijadikan sebagai program tahunan dan pihaknya merancang melibatkan lebih banyak penyertaan sekolah di Sabah serta Sarawak.

"Di Lahad Datu kita telah merekodkan pencapaian 700 pengunjung daripada sasaran 1500 pengunjung pada hari ini dan dijangkakan lebih banyak sambutan daripada penduduk dan pelajar setempat selepas ini," katanya.

Mohammad Yusof dalam ucapannya berkata MOSTI berusaha merakyatkan sains dalam kalangan masyarakat Malaysia termasuk inisiatif membawa pembelajaran sains, teknologi dan inovasi dengan kaedah pengembaraan ke Borneo yang dimulakan sejak tahun lepas dan diteruskan pada tahun ini secara lebih besar.

"Kembara Sains Borneo akan menjelajah ke 10 daerah di Sabah dengan permulaan di Lahad Datu melalui Kinabatangan, Ranau, kemudian berakhir di Kota Kinabalu dan selepas itu pengembaraan diteruskan di lima daerah di Sarawak bermula di Miri kemudian berakhir di Kuching," katanya.

Di samping itu menurut beliau, MOSTI teruja dengan pencapaian keputusan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) 2023 yang merekodkan peningkatan pencapaian bagi mata pelajaran elektif STEM dan perkara itu bermakna dalam mencorak lanskap pendidikan di peringkat lebih tinggi serta kerjaya.

"Trend pelajar mengambil STEM merekodkan penurunan dan berikutan itu menjadi cabaran kepada semua pihak di peringkat kementerian, jabatan, sekolah, ibu bapa malahan pelajar sendiri bagi memastikan negara mencapai misi dan aspirasi negara maju berteknologi tinggi menjelang tahun 2030," katanya.

Menurut Mohammad Yusof, bagi memperkasakan agenda STEM, cetusan minat anak seawal usia perlu dilakukan dan MOSTI memerlukan strategi dan sinergi bersepadu dari semua pihak berkepentingan agar minat anak-anak terus berkembang ke peringkat lebih tinggi.

"Kerjasama strategik Pusat Sains Negara serta Hibiscus Petroleum Berhad menunjukkan dedikasi serta komitmen pihak swasta dalam penganjuran program berasaskan sains, teknologi dan inovasi, menyemarakkan pembudayaan sains dan diharapkan lebih ramai sektor awam serta swasta mengadakan program interaktif sains serta pameran kreatif," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan