Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 15 Okt (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan kerjasama Universitas Nasional (UNAS) melaksanakan program penanaman 10,000 anak pokok bakau di Tangerang, provinsi Banten sebagai usaha bersama memelihara kelestarian alam sekitar dan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.
Program pemuliharaan ekosistem bakau seluas satu hektar yang bertemakan “Menanam Akar, Menyuburkan Persahabatan” itu disertai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Ia turut disertai kakitangan Kedutaan, wakil Kementerian Luar Negeri Indonesia dan masyarakat setempat.
Syed Mohamad Hasrin berkata inisiatif yang dilaksanakan di kawasan pesisir Kampung Bahari Nusantara pada Rabu selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2025, iaitu “Keterangkuman dan Kelestarian”.
“Walaupun aktiviti hari ini merupakan langkah kecil, saya yakin ia akan memberi kesan positif terhadap kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Semoga inisiatif ini menjadi nilai tambah kepada kerjasama dua negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030),” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar program itu dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia melalui usaha pemuliharaan alam sekitar.
Rektor UNAS, Dr El Amry Bermawi Putera, berkata program yang akan dijalankan secara berperingkat selama enam bulan itu turut mempunyai dimensi pendidikan dan sosial, dengan penglibatan pelajar UNAS serta universiti dari Malaysia.
“Penglibatan menyeluruh ini diharap akan dapat menumbuhkan rasa tanggungjawab dan kepedulian lintas generasi terhadap ekosistem bakau,” katanya.
Menurut UNAS, hasil kajian lokasi yang dijalankan sejak Ogos lalu mendapati kawasan Hutan Bakau Kampung Bahari Nusantara dipilih sebagai tapak utama kerana memiliki potensi pemulihan yang tinggi, keadaan ekologi yang mendesak serta sokongan padu masyarakat dan kerajaan tempatan.
Kawasan itu juga dikenal pasti sebagai zon hijau penting di pesisir pantai Banten yang berfungsi melindungi kawasan penempatan dan kolam ternakan ikan daripada hakisan laut.
-- BERNAMA