AM

ATM Gerakkan 4,428 Anggota, Dan 7,880 Aset Hadapi Monsun Timur Laut - Mohamed Khaled

20/11/2025 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempersiapkan 4,428 anggota termasuk 266 pegawai serta 7,880 aset terdiri daripada 506 mobiliti darat, 7,355 mobiliti perairan dan 19 mobiliti udara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 13 Nov lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesiapsiagaan itu merupakan sebahagian tindakan proaktif ATM menerusi Operasi Murni (Op Murni) bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menangani risiko bencana semasa musim monsun.

“Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai peneraju operasi, manakala Cawangan Operasi dan Latihan Tentera Darat (OPLAT TD) berperanan sebagai Point of Contact kepada NADMA.

“Selain itu, 15 Appointed Military Commander (AMC) daripada Panglima Divisyen dan Briged di Semenanjung, Sabah dan Sarawak turut dilantik untuk memastikan operasi berjalan lancar,” katanya ketika ditemui media di Kem Kementah di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat mengenai Op Murni di kem terbabit yang turut menekankan persiapan anggota serta aset ATM untuk diatur gerak ke kawasan terjejas sebagai operasi bantuan kemanusiaan dan kecemasan.

Mohamed Khaled turut meninjau kesiapsiagaan 17 aset Op Murni di Padang Kawad Kem Kementah, termasuk trak tujuh tan TATRA, dan AMDAC, trak tiga tan dan satu tan, water trailer, ambulans medan, bot lengkap peralatan keselamatan serta khemah modular, sebelum diatur gerak ke kawasan terjejas.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata MetMalaysia meramalkan hujan berterusan akibat MTL dari awal November hingga penghujung Mac 2026, melibatkan negeri tumpuan seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah.

Beliau menegaskan ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan anggota, aset dan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada pada tahap optimum serta mampu memberikan tindak balas pantas.

“Usaha ini mencerminkan komitmen ATM bukan sahaja sebagai benteng pertahanan negara tetapi juga sebagai organisasi yang mendukung keselamatan dan kesejahteraan rakyat pada setiap masa,” katanya.

Mohamed Khaled berkata NADMA juga telah membekalkan jambatan modular (Bailey) kepada ATM yang boleh digerakkan mengikut situasi serta keperluan.

“ATM akan menumpukan usaha dan sumber di kawasan yang mencatat peningkatan dan berisiko tinggi berlakunya banjir, berdasarkan pemantauan masa nyata sebaik sahaja hujan bermula,” katanya.

Op Murni dilaksanakan selaras pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) bagi melindungi rakyat semasa kecemasan dan bencana.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493047