KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari ini, menjejaki prestasi bercampur-campur semalaman Wall Street susulan pendirian pelabur yang berhati-hati menjelang pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengenai kadar faedah negara maju itu pada minggu depan.
Pada jam 9.10 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.70 mata kepada 1,618.37 daripada 1,621.07 pada akhir dagangan semalam.
Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 0.37 mata pada 1,620.70.
Pasaran secara meluas adalah negatif dengan rugi mengatasi untung iaitu169 berbanding 143, sebanyak 263 tidak berubah, 2,169 tidak diniagakan dan 18 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 150.10 juta saham bernilai RM65.15 juta.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata terdapat isyarat jelas pasaran tenaga kerja Amerika Syarikat (AS) kian lemah, sekali gus meningkatkan lagi jangkaan pihak Fed akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi.
“Selain itu, hasil bon 10 tahun AS meningkat kepada 4.10 peratus. Di Hong Kong, Indeks Hang Seng melonjak semula menghampiri paras 26,000 apabila keyakinan terhadap kemungkinan AS menurunkan kadar faedah itu terus ketara susulan data pasaran pekerjaan AS yang lemah,” katanya.
Di peringkat domestik, beliau berkata FBM KLCI mengekalkan pembetulan berkala dan ditutup rendah pada paras meningkat sedikit daripada 1,620.
“Sentimen pasaran kekal berhati-hati kerana kebanyakan pedagang mengambil sikap tunggu dan lihat. Namun kami percaya pengukuhan ringgit ke paras 4.11 berbanding dolar AS pada penutupan semalam dapat menjadi pemangkin aliran masuk dana asing di masa akan datang.
“Sehubungan itu, bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat antara 1,620 dan 1,630,” katanya.
Bagi saham wajaran tinggi, CIMB naik 1.0 sen kepada RM7.93, Tenaga Nasional menokok 6.0 sen kepada RM12.56, Maybank turun 4.0 sen kepada RM10.20, Public Bank berkurangan 2.0 sen kepada RM4.37 manakala IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM8.31.
Kaunter paling aktif menyaksikan V.S. Industry naik 2.0 sen kepada 48 sen, Omesti meraih setengah sen kepada 7.0 sen, saham yang baru disenaraikan di Pasaran Utama iaitu Geohan Corporation susut 1.0 sen kepada 54 sen manakala Velesto Energy dan TWL Holdings kekal tidak berubah masing-masing pada 24.5 sen dan 2.5 sen.
Selain itu, kaunter paling untung diterajui oleh Life Water dan Petronas Dagangan yang masing-masing naik 12 sen kepada RM1.56 dan RM19.94, Southern Acids menokok 20 sen kepada RM3.20, Petronas Gas bertambah 8.0 sen kepada RM17.38 dan Tenaga Nasional meningkat 6.0 sen kepada RM12.56.
Sebaliknya, kaunter dengan kerugian ketara adalah Malaysian Pacific Industries susut 28 sen kepada RM31.80, Dutch Lady Milk Industries turun 20 sen kepada RM31.90 dan Kuala Lumpur Kepong kehilangan 10 sen kepada RM19.10.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah turun 15.60 mata kepada 11,816.08, Indeks FBMT 100 merosot 18.02 mata kepada 11,754.98, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 18.59 mata kepada 16,728.33, Indeks FBM ACE kehilangan 20.63 mata kepada 4,806.0 manakala Indeks FBM Emas menguncup 16.99 mata kepada 11,974.20.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 0.08 mata kepada 758.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 31.39 mata kepada 19,016.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.20 mata kepada 166.09 manakala Indeks Perladangan kehilangan 11.71 mata kepada 8,099.61.
-- BERNAMA