Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat dalam keadaan prestasi bercampur-campur di rantau ini, susulan sentimen berhati-hati pelabur berikutan kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Bank of Japan (BOJ) serta data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang dijangka mempengaruhi keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) minggu depan.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengurangkan sebahagian besar penurunan awal untuk ditutup 4.55 mata lebih rendah, atau 0.28 peratus, kepada 1,616.52 berbanding 1,621.07 pada Khamis.
Indeks penanda aras tersebut dibuka 0.37 mata lebih rendah pada 1,620.70 dan bergerak antara 1,609.67 dan 1,621.25 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 604 berbanding 439, manakala 550 kaunter tidak berubah, 1,151 tidak diniagakan dan 18 digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.17 bilion unit bernilai RM2.24 bilion daripada 4.48 bilion unit bernilai RM2.75 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran saham Jepun menyusut dengan ketara dalam perskitaran kebimbangan terhadap potensi kenaikan kadar faedah oleh BOJ.
“Pada masa sama, saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) sedang mengalami proses peralihan portfolio oleh pengurus dana. Pelabur juga berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi AS yang mungkin mempengaruhi keputusan Fed mengenai penurunan kadar faedah minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup lebih rendah meskipun penurunan awal berkurangan dengan ketara, apabila pelabur mengurangkan pendedahan risiko menjelang pengumuman data inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) malam ini.
"Keseluruhan prestasi Bursa Malaysia menunjukkan jurang yang ketara dengan sektor telekomunikasi mencatatkan penurunan ketara, seiring dengan kelemahan kaunter telekomunikasi di FBM KLCI," katanya.
Beliau berkata sektor pembinaan muncul antara paling kukuh, disokong oleh momentum berterusan projek domestik serta pengukuhan ringgit yang membantu mengurangkan kos import bahan dan jentera, sekali gus memperbaiki jangkaan margin kontraktor.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, IHH Healthcare naik 9.0 sen kepada RM8.40, Tenaga Nasional menokok 14 sen kepada RM12.64, Maybank susut 6.0 sen kepada RM10.18, CIMB berkurangan 1.0 sen kepada RM7.91 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.39.
Bagi kaunter paling aktif, V.S. Industry meningkat 1.0 sen kepada 47 sen, Velesto Energy menambah setengah sen kepada 25 sen, Tanco naik 2.0 sen kepada RM1.17, Zetrix AI susut 2.0 sen kepada 81.5 sen dan Geohan Corporation, yang baharu disenaraikan di Pasaran Utama, turun 1.0 sen kepada 54 sen.
Kaunter untung teratas termasuk Chin Teck Plantations yang meningkat 12 sen kepada RM10.98, manakala Sunway Construction, Ajinomoto dan Malayan Cement masing-masing naik 10 sen kepada RM6.02, RM13.90 dan RM6.89.
Antara kaunter rugi utama, Nestle turun RM3.70 kepada RM112.00, Allianz Malaysia merosot 46 sen kepada RM19.52 dan Fraser & Neave susut 50 sen kepada RM35.10.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE merosot 10.49 mata kepada 4,816.14, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 34.63 mata kepada 11,797.05, Indeks FBM Mid 70 susut 24.31 mata kepada 16,722.61, Indeks FBM Emas turun 28.96 mata kepada 11,962.23, manakala Indeks FBMT 100 berkurang 29.18 mata kepada 11,743.82.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 0.48 mata kepada 758.54, Indeks Perladangan susut 15.07 mata kepada 8,096.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.51 mata kepada 165.78, sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 36.69 mata kepada 19,011.33.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat sedikit kepada 1.30 bilion unit bernilai RM1.92 bilion, berbanding 1.29 bilion unit bernilai RM2.24 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.57 bilion unit bernilai RM208.62 juta, daripada 2.78 bilion unit bernilai RM386.97 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE turut mengecil kepada 302.95 juta unit bernilai RM107.28 juta, berbanding 406.31 juta unit bernilai RM117.33 juta semalam.
Di Pasaran Utama, kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 225.11 juta saham, produk dan perkhidmatan perindustrian (245.04 juta), pembinaan (114.54 juta), teknologi (150.13 juta), perkhidmatan kewangan (59.03 juta), hartanah (158.35 juta), perladangan (25.35 juta), amanah pelaburan hartanah (27.51 juta), dana tertutup (16,000), tenaga (165.76 juta), penjagaan kesihatan (34.39 juta), telekomunikasi dan media (28.30 juta), pengangkutan dan logistik (27.22 juta), utiliti (35.01 juta), serta amanah perniagaan (1.0 juta).
-- BERNAMA