AM

Banjir: JPS Perak Sedia 83 Pam Kecemasan Mudah Alih Hadapi MTL

05/12/2025 05:54 PM

IPOH, 5 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak menyediakan 83 pam kecemasan mudah alih di seluruh negeri sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan hingga Mac. 

Pengarah JPS Perak Asnor Muizan Ishak berkata jumlah itu merangkumi 74 pam yang sedang beroperasi di tapak dan sembilan unit lagi dalam keadaan siap siaga.

“Secara keseluruhan, Perak memiliki 136 pam mudah alih pelbagai kapasiti termasuk pam berkeupayaan tinggi bagi mempercepatkan proses mengeluarkan air terutama di kawasan rendah dan jajaran berhampiran muara sungai.

“Pam-pam ini sangat penting untuk mengalirkan air banjir dari kawasan dataran rendah ke sungai, kolam atau laut, terutama ketika tempoh paras sungai terlalu tinggi dan air laut pasang ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sebahagian besar pam telah ditempatkan di Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk kerana masih berdepan isu air bertakung kerana terletak di kawasan rendah.

Asnor Muizan berkata penggunaan pam mudah alih antara penyelesaian jangka pendek paling berkesan bagi menangani banjir termenung, terutamanya di kawasan rendah.

“Bila paras sungai tinggi atau air laut pasang dan pada masa sama hujan terlalu lebat, air di kawasan rendah memang sukar mengalir. Ada tempat mengambil masa hingga sebulan untuk surut, maka pam berperanan besar,” katanya.

Beliau berkata pengurusan banjir di negeri ini melibatkan pelbagai kerjasama termasuk pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah, Jabatan Kerja Raya serta agensi-agensi yang berkaitan. 

“JPS antara pihak yang akan membantu dan menyokong arahan Jawatankuasa Bencana Daerah termasuk menyediakan pam tambahan, bot atau jentera pengorek sekiranya diperlukan,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499289