Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 5 Dis (Bernama) -- Ketika banjir melanda Hat Yai di wilayah Songkhla, Thailand pada November lalu, menenggelamkan jalan raya dan menyebabkan penduduk terkandas, sukarelawan Malaysia menyeberangi sempadan bukan sebagai pelancong, tetapi sebagai barisan hadapan yang tampil membantu.
Mereka terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di Pulau Pinang yang terlibat dalam memindahkan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hat Yai dan daerah sekitarnya.
Seramai 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir teruk telah diselamatkan.
Namun, selepas keadaan semakin pulih dan air banjir surut, ramai sukarelawan membuat keputusan untuk kekal berada di Thailand bagi membantu pihak berkuasa tempatan dalam usaha pemulihan pascabanjir.
Dengan lebih 20 kenderaan pikap penyelamat, kit perubatan dan bekalan makanan kering, Ng Keok Seng, sukarelawan dari Persatuan Keselamatan Sukarela Bukit Mertajam, berkata beliau dan sukarelawan lain memasuki Hat Yai pada 23 Nov dengan tekad untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang terkandas.
“Perancangan awal kami ialah menyelamatkan semua rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai, malah kami menyediakan dua bas untuk membawa mereka pulang ke Butterworth dan Bukit Mertajam,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Ng, yang berasal dari Bukit Mertajam, berkata kini setelah misi pemindahan selesai - dengan sokongan rakyat Thai - para sukarelawan mahu “membalas budi” dengan membantu Thailand dalam operasi pemulihan.
“Sejak awal bulan ini, selepas air banjir surut, kami tetap berada di sini. Malah ada sukarelawan yang menyeberang sempadan setiap hari semata-mata untuk membantu rakyat dan pihak berkuasa Thailand membersih serta membina semula kawasan terjejas,” katanya.
Beliau menambah lebih 50 sukarelawan daripada lapan persatuan yang berpangkalan di Pulau Pinang komited untuk terus membantu mengagihkan makanan, pakaian dan keperluan harian.
Selain Persatuan Keselamatan Sukarela Bukit Mertajam, sukarelawan lain terdiri daripada Persatuan Bomba Sukarela Berapit, Persatuan Bomba Sukarela Juru, Blue Sky Rescue Malaysia, CERT Georgetown, Persatuan Bomba Sukarela Pekan Bukit Mertajam, International Association for Human Values dan Persatuan Bomba Sukarela Kawasan Kampung Cross Street.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah memuji usaha para sukarelawan Pulau Pinang itu.
Beliau berkata sumbangan mereka sentiasa dialu-alukan dan dihargai, terutama pada waktu rakyat Thailand benar-benar memerlukan bantuan.
“Saya berbesar hati kerana rakyat Malaysia terus memberi bantuan dan kekal berada di sini untuk membantu rakyat Thailand. Rakyat Thai sentiasa baik kepada semua, dan pada ketika ini mereka benar-benar memerlukan sokongan … adalah sesuatu yang baik apabila sukarelawan kita terus berada di sini untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral di Songkhla akan terus membantu rakyat Malaysia di Thailand dalam apa jua cara yang diperlukan.
Hat Yai merupakan antara destinasi pelancongan jarak dekat paling popular bagi rakyat Malaysia, dengan lebih 3.5 juta rakyat Malaysia melawat selatan Thailand tahun lalu.
Jumlah besar pelancong Malaysia di kawasan itu meningkatkan keperluan mendesak untuk usaha pemindahan, memerlukan penyelarasan rapat antara misi diplomatik Malaysia, pihak berkuasa Thailand dan kumpulan sukarelawan.
Menurut pihak berkuasa Thailand, banjir teruk di selatan Thailand telah meragut lebih 145 nyawa dan menjejaskan kira-kira 3.54 juta penduduk.
-- BERNAMA